Saifuddin: Individu berpengaruh tidak terkecuali jika terbabit sindiket dadah TUDM

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Individu berpengaruh dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat tidak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa individu yang berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah terancang itu telah dikenal pasti. Siasatan akan diperluaskan bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan.

Beliau memberi jaminan mana-mana individu yang ditangkap dalam beberapa hari akan datang tetap dikenakan tindakan tanpa mengira jawatan atau kedudukan. Menurutnya, taklimat awal menunjukkan terdapat beberapa nama berpotensi terlibat, termasuk individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.

“Berdasarkan taklimat awal yang diberikan kepada saya, terdapat beberapa nama yang berpotensi terlibat, termasuk individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, dan tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Saifuddin menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang meminta penjelasan mengenai cara sindiket itu mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa. Ronald turut bertanya mengenai usaha kerajaan memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan dan membanteras penyusupan sindiket jenayah terancang ke dalam institusi pertahanan negara.

Beliau berkata, siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 akan diperluaskan kepada unsur jenayah terancang. Jika unsur itu dikenal pasti, pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita akan memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan organisasi sindiket ini serta peranan setiap individu yang terlibat, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan penghantar dadah,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan memandang serius kes itu kerana membabitkan eksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan TUDM. Beliau berkata kegiatan berkenaan bukan sahaja melibatkan kesalahan jenayah serius, malah berpotensi menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara.

Dalam operasi pada 17 dan 19 November lalu, seramai 13 individu ditahan, terdiri daripada tujuh anggota TUDM — lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat — serta enam orang awam. Sebanyak 96.64 kilogram metamfetamin bernilai RM4.83 juta turut dirampas.

Ketua sindiket masih bebas, namun Saifuddin berkata individu itu sudah dikenal pasti dan beliau yakin tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. Siasatan awal mendapati sindiket mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera melalui individu yang mempunyai akses kepada operasi penerbangan TUDM.

Menurutnya, sindiket itu merupakan rangkaian jenayah besar yang telah lama bertapak. Sebahagian ahlinya sudah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala selebihnya masih bebas.

Kegiatan itu dipercayai didorong keuntungan lumayan daripada penjualan metamfetamin. Harganya boleh mencecah RM50,000 sekilogram di pasaran tempatan, RM250,000 sekilogram di Indonesia dan sehingga RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.