Victoria Beckham serah hak cap dagangan nama Brooklyn

LONDON: Victoria Beckham dilaporkan menyerahkan hak cap dagangan di United Kingdom bagi nama anak sulungnya, Brooklyn, kepadanya pada 17 Nov, ketika hubungan keluarga mereka masih tegang. Pemindahan itu menjadikan Brooklyn, 27, pemilik tunggal hak berkenaan dan dilihat sebagai usaha Victoria untuk merapatkan semula hubungan mereka.
Bekas penyanyi Spice Girls berusia 52 tahun itu mendaftarkan cap dagangan nama Brooklyn pada 2016, ketika anaknya berusia 17 tahun, bagi melindungi jenama peribadinya daripada penggunaan komersial tanpa kebenaran. Victoria dipercayai turut mendapatkan hak serupa untuk anak-anaknya yang lain, Romeo, Cruz dan Harper.
Menurut Daily Mail, hak cap dagangan itu perlu diperbaharui tahun ini, lalu Victoria mengemukakan dokumen untuk melepaskan kawalannya. Proses pemindahan selesai pada 17 Nov. Tindakan itu dianggap sebagai isyarat berdamai ketika perselisihan keluarga masih berlarutan.
Ketegangan antara Brooklyn dengan ibu bapanya, Victoria dan bekas pemain bola sepak David Beckham, memuncak pada Januari apabila Brooklyn membicarakan konflik itu secara terbuka. Dalam kenyataan panjang di Instagram, beliau menuduh ibu bapanya cuba mengawal kehidupannya serta campur tangan dalam perkahwinannya dengan pelakon Nicola Peltz Beckham.
“Saya berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk merahsiakan perkara ini,” tulis Brooklyn. Beliau mendakwa ibu bapanya dan pasukan mereka terus memberikan maklumat kepada media, sehingga beliau merasakan tiada pilihan selain berkongsi ceritanya sendiri.
Brooklyn turut mendakwa ibu bapanya berulang kali mendesak dan cuba merasuahnya supaya menyerahkan hak terhadap namanya sebelum perkahwinannya. Menurutnya, perjanjian itu boleh memberi kesan kepada dirinya, isterinya dan anak-anak mereka pada masa depan. “Keengganan saya menjejaskan bayaran itu, dan mereka tidak pernah melayan saya dengan cara yang sama sejak itu,” dakwanya.
Beliau juga menuduh keluarganya mengutamakan imej awam serta urusan komersial berbanding hubungan peribadi. “Keluarga saya mengutamakan promosi awam dan sokongan komersial melebihi segala-galanya. Jenama Beckham didahulukan,” tulisnya. Brooklyn menolak dakwaan bahawa Nicola mengawalnya dan berkata ibu bapanya yang berbuat demikian sepanjang kebanyakan hidupnya. “Apa yang kami mahukan hanyalah keamanan, privasi dan kebahagiaan untuk kami serta keluarga kami pada masa depan,” katanya.
Victoria sebelum ini menyentuh ketegangan keluarga itu tanpa menyebut nama Brooklyn dalam temu bual dengan WSJ Magazine pada April. Beliau berkata bahawa dia dan David sentiasa mengutamakan kesejahteraan anak-anak. “Kami sentiasa berusaha menjadi ibu bapa terbaik yang termampu,” katanya.
Walaupun berlaku perselisihan secara terbuka, keluarga Beckham terus menghubungi anak sulung mereka, termasuk menerusi ucapan hari lahir di media sosial. Namun, belum dapat dipastikan sama ada penyerahan hak cap dagangan itu akan membantu memulihkan hubungan mereka. Brooklyn sebelum ini berkata beliau tidak mahu berdamai.