Pimpinan UMNO menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap

Sumber: Harian Metro
Pimpinan UMNO menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap
Gambar: Harian Metro

SEREMBAN: Sesi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh pimpinan kanan UMNO bermula di Istana Hinggap di sini, selepas kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba pada jam 3 petang tadi.

Terdahulu, kenderaan membawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiba di istana itu pada jam 2.40 petang. Kenderaan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula tiba 10 minit kemudian.

Pemimpin UMNO itu hadir untuk memaklumkan kepada Tuanku Muhriz mengenai situasi politik negeri. Ia susulan tindakan 24 ADUN yang memberikan mandat kepada kepimpinan parti untuk menentukan individu yang wajar memegang jawatan Menteri Besar.

Keputusan sama ada Datuk Ismail Lasim akan kekal sebagai Menteri Besar atau digantikan dijangka diketahui selepas sesi menghadap berkenaan. Ismail sebelum ini sudah menghadap Tuanku Muhriz, namun setakat ini belum keluar dari istana.

Beliau dipercayai berkemungkinan turut menyertai pertemuan dengan pemimpin kanan UMNO. Sesi menghadap hari ini dijangka dapat menamatkan kemelut politik dan pentadbiran negeri, khususnya berkaitan kedudukan Menteri Besar.

Krisis istana dan pentadbiran itu tercetus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu. Ia bermula apabila Ismail menandatangani proklamasi mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 3 Ogos, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan.