Busananeka hidupkan semula keindahan warisan tekstil Melayu

Sumber: Harian Metro
Busananeka hidupkan semula keindahan warisan tekstil Melayu
Gambar: Harian Metro

Kepelbagaian busana tradisional dan kontemporari Melayu diketengahkan menerusi pertunjukan fesyen ‘Busananeka: Warna Mengerna’ di Muzium Tekstil Merdeka (MTM), baru-baru ini. Acara istimewa itu diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 yang bakal berlangsung.

Dianjurkan sebagai penghargaan kepada pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), pertunjukan itu memberi peluang kepada tetamu mengenali kekayaan warisan dan budaya negara melalui seni busana. Acara berkenaan turut dihadiri pengurusan kanan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), selebriti tempatan serta tetamu jemputan.

Pertunjukan itu memberi penghormatan kepada Busananeka, yang diilhamkan tokoh budayawan terkenal, Allahyarhamah Puan Azah Aziz. Kali terakhir dipersembahkan di Universiti Malaya (UM) pada 1990, Busananeka menampilkan pelbagai busana tradisional Melayu, daripada pakaian istiadat golongan diraja hingga pakaian harian masyarakat.

Selepas lebih tiga dekad, MTM mempersembahkan semula Busananeka dengan pendekatan baharu yang mengambil inspirasi daripada kepelbagaian warna Alam Melayu. Sebanyak 24 persalinan dipamerkan, terdiri daripada lapan busana koleksi arkib dan 16 rekaan kontemporari oleh Tangsi Tujuh, Zachrin Jaafars, Mokara serta Terengganu Songket. Persembahan itu turut memperlihatkan bagaimana warisan tekstil Melayu terus relevan kepada generasi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee, berkata MSAM menjadi platform untuk mendekati rakyat Malaysia dan meningkatkan kefahaman mereka tentang simpanan serta pelaburan selama lebih dua dekad.

“Menerusi ‘Kita Generasi Labur,’ kami ingin menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, untuk membina tabiat kewangan yang baik serta menjadikan soal kewangan, simpanan dan pelaburan sebagai sebahagian daripada perbualan dalam keluarga sejak usia awal,” katanya.

Buat julung kalinya sejak diperkenalkan, MSAM 2026 bakal berlangsung di Stadium Merdeka dari 27 hingga 29 November ini, jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.