Enam suspek kes seludup dadah guna aset TUDM didakwa esok

KUALA LUMPUR: Enam individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata enam suspek itu terdiri daripada tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Tujuh suspek selebihnya pula akan dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi pada 17 November lalu di Lembah Klang dan Labuan, polis menahan 11 individu, terdiri daripada lima anggota TUDM dan enam orang awam. Operasi itu turut menyaksikan rampasan 96.64 kilogram dadah yang disyaki syabu, bernilai RM4.83 juta, serta 6.98 kilogram bahan kimia.
Hussein sebelum ini dilaporkan berkata, antara lima anggota TUDM yang ditahan ialah juruterbang berpangkat Leftenan dan Kapten.
Sindiket yang disyaki menyeludup bahan terlarang itu ditumpaskan menerusi perkongsian risikan antara JSJN Bukit Aman dengan Provos Marsyal TUDM.