Mangsa banjir di PPS Selangor meningkat, Perak menurun sedikit

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat pagi ini, manakala angka di Perak susut sedikit dan kekal di Sabah. Selangor merekodkan 1,456 mangsa daripada 414 keluarga, berbanding 958 mangsa daripada 281 keluarga semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kuala Langat mencatat jumlah tertinggi di Selangor dengan 801 mangsa di dua PPS. Seramai 785 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang, manakala 16 lagi berada di Balai Raya Kampung Sungai Kelambu.
Di Kuala Selangor, 449 mangsa ditempatkan di tiga pusat, iaitu 214 orang di Sekolah Rendah Agama Pasangan, 166 di SK Dato' Maharaja Lela dan 69 di Sekolah Agama Batu 8 Ijok. Sepang pula menempatkan 206 mangsa di tiga PPS: 122 di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, 51 di Dewan Orang Ramai Dengkil dan 33 di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.
Di Perak, jumlah mangsa di tiga PPS merentasi tiga daerah berkurang sedikit kepada 209 orang daripada 62 keluarga, berbanding 211 orang daripada 63 keluarga semalam. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung, kekal 127 orang daripada 37 keluarga. Di Hilir Perak, jumlah di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan turun kepada 72 orang daripada 21 keluarga, sementara 10 orang daripada empat keluarga kekal di SK Batu Hampar, Larut, Matang dan Selama.
Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras Sungai Kurau di takungan Bukit Merah, Kerian, mencapai tahap bahaya 9.25 meter, berbanding paras normal 8.68 meter. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di semua daerah Perak petang ini.
Di Sabah, jumlah mangsa di Sook tidak berubah, iaitu 153 orang daripada 42 keluarga. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata mereka berasal dari tiga kampung yang terjejas banjir dan ditempatkan di Dewan Serbaguna SLDB di Kampung Dalit Gana.