Tony Pua pertahankan siaran Minit Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, mempertahankan tindakannya menyiarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membabitkan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau berkata beliau hanya merujuk kepada minit mesyuarat yang sudah dinyahklasifikasikan secara sah dan membentangkan fakta terkandung dalam dokumen berkenaan.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Tony Pua menegaskan bahawa apa yang dinyahklasifikasikan itu adalah minit mesyuarat Lembaga, dan beliau bukan pihak yang membuat sebarang keputusan dalam Lembaga. “Yang nyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan saya. Yang membuat sebarang keputusan dalam Lembaga, bukan saya. Yang saya buat? Hanya rujuk kepada minit mesyuarat yang sudah sah dinyahklasifikasikan, dan membentangkan fakta yang ternyata dalam minit berkenaan,” katanya, sambil membidas kritikan terhadap tindakannya.
Terdahulu, Tony Pua menerusi media sosial berkongsi beberapa dokumen yang didakwa sebagai Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dinyahklasifikasi berkaitan pengampunan bersyarat Najib. Menurut minit yang dinyahklasifikasikan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil memberikan pandangan, antara lain Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang melihat penularan minit mesyuarat terbabit sebagai bentuk penghinaan dan hasutan disengajakan untuk membuka perdebatan serta polemik mempersoalkan, menghina dan meremehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Asyraf turut menggesa tindakan tegas diambil jika siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang atau prosedur dalam isu penularan dokumen berkenaan.