Sarawak teliti kapasiti penginapan menjelang ISG 2029

Sumber: Harian Metro
Sarawak teliti kapasiti penginapan menjelang ISG 2029
Gambar: Harian Metro

KUCHING: Sarawak memberi perhatian awal kepada penyediaan kapasiti penginapan menjelang penganjuran Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2029 yang dijangka menghimpunkan delegasi dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kehadiran puluhan ketua negara dan delegasi luar memerlukan penyelarasan rapi, termasuk kemungkinan penempatan secara berkongsi berdasarkan kapasiti hotel sedia ada.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, masih ada masa untuk menilai keperluan serta menyusun perancangan penginapan memandangkan temasya itu dijadual berlangsung pada 2029. Perancangan juga mengambil kira situasi semasa di Asia Barat.

Abdul Karim berkata penganjuran temasya itu berpotensi membuka lembaran baharu dalam diplomasi sukan dan pelancongan negeri. Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, juga dijangka hadir.

Katanya, minat negara anggota terhadap Sarawak terserlah selepas negeri itu menerima watikah hak penganjuran. Mereka turut menunjukkan minat untuk berkunjung selepas melihat video yang memperkenalkan lokasi Sarawak di Borneo serta tarikan yang ada di negeri itu.

Sebagai tuan rumah, Sarawak juga terbuka membantu membiayai penyertaan beberapa negara kecil, khususnya di Afrika. Abdul Karim berkata langkah itu dipertimbangkan kerana potensi manfaat limpahan kepada sektor pelancongan.

“Bagi sesetengah negara Afrika, kita mungkin perlu membiayai penyertaan mereka… kalau tidak silap saya, terdapat 22 negara kecil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA baru-baru ini.

Beliau berkata Sarawak sudah memaklumkan kepada penganjur, Arab Saudi yang memegang hak penganjuran, bahawa negeri itu tidak keberatan memberikan bantuan berkenaan.

Pada September lalu, Sarawak dilaporkan memperoleh hak penganjuran ISG 2029 ketika lawatan Abdul Karim ke Taif, Arab Saudi. Lawatan itu menyaksikan pemeteraian satu perjanjian.