Saman MCMC terhadap Google diserahkan kepada peguam syarikat di Malaysia

Sumber: Astro Awani
Saman MCMC terhadap Google diserahkan kepada peguam syarikat di Malaysia
Gambar: Astro Awani

KULAI: Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di YouTube telah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Murni Jaya di sini, hari ini. “Setakat pengetahuan saya, saman ini telah diserahkan kepada Google, kepada peguam mereka di Malaysia,” katanya.

Teo berkata ini kali pertama MCMC menyaman Google, manakala suruhanjaya itu sebelum ini pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Telegram.

Menurut beliau, kelemahan sistem saringan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan tenaga kerjanya untuk memantau dan melaporkan kandungan perjudian dalam talian. Google, katanya, sepatutnya mempunyai pasukan sendiri untuk menyaring kandungan di platform itu.

MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube dari 1 Jan hingga 28 Okt tahun ini. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan, bersamaan 99.8 peratus, berkaitan perjudian dalam talian.

Pada 25 Nov, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta. Saman pertama berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.

Saman kedua pula berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang. Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.