Saman MCMC terhadap Google diserahkan kepada peguam syarikat di Malaysia
KULAI – Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di YouTube sudah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan saman pertama MCMC terhadap Google. Sebelum ini, suruhanjaya itu pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Telegram.
“Setakat pengetahuan saya, saman ini telah diserahkan kepada Google, kepada peguam mereka di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Murni Jaya di sini, hari ini.
Nie Ching berkata, kelemahan sistem saringan YouTube menyebabkan MCMC perlu menggunakan tenaga kerjanya untuk memantau dan melaporkan kandungan perjudian dalam talian. Menurutnya, Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri bagi menyaring kandungan pada platform itu.
MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube dari 1 Januari hingga 28 Oktober tahun ini. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.
Pada 25 November, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta. Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua pula berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang. Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.