Rusa sambar lebih besar, bekalkan nutrisi kepada Harimau Malaya

IPOH: Rusa sambar dilepaskan sebagai sumber makanan Harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum, Gerik, kerana saiznya lebih besar berbanding babi hutan dan berpotensi membekalkan nutrisi lebih baik kepada pemangsa itu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Dr Fazil Abdul Patah, berkata seekor rusa sambar dianggarkan mempunyai berat antara 150 hingga 180 kilogram (kg), manakala babi hutan sekitar 80 kg.
Bagaimanapun, babi hutan masih menjadi antara sumber makanan Harimau Malaya di kawasan itu. Menurut Fazil, pelepasan babi hutan boleh dilakukan pihak berkaitan, tetapi populasinya sebelum ini berkurangan susulan penularan Demam Babi Afrika (ASF).
Beliau berkata, sebelum dilepaskan, babi hutan perlu menjalani analisis darah oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri bagi memastikan haiwan itu bebas daripada penyakit, termasuk ASF. Beliau memberikan kenyataan itu ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Pelepasan empat ekor rusa sambar di Taman Negeri Royal Belum pada 21 Nov mendapat perhatian pengguna media sosial dan mencetuskan perbincangan mengenai kesesuaian haiwan itu sebagai sumber makanan Harimau Malaya berbanding babi hutan.
Mengulas kebimbangan bahawa pelepasan babi hutan dalam jumlah besar boleh merosakkan hutan atau mengganggu ekosistem, Fazil berkata rekod sebelum penularan wabak ASF pada 2023 tidak menunjukkan kesan sedemikian di lokasi berkenaan.
Sebaliknya, katanya, populasi babi hutan di kawasan itu sebelum ini dapat menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan Harimau Malaya.
Fazil turut berharap usaha menambah sumber makanan melalui pelepasan haiwan buruan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memulihara Harimau Malaya serta habitat semula jadinya.