Dua sahabat cipta rekod dunia bermain catur di puncak Chimborazo

Dua sahabat dari Amerika Syarikat, Adam Wininger, 32, dan Joshua Host, 44, mencipta rekod dunia Guinness selepas bermain catur di puncak Gunung Chimborazo, Ecuador, pada 31 Mac lalu. Permainan itu berlangsung pada ketinggian 6,276 meter.
Wininger dan Host memperoleh gelaran bagi permainan papan atau permainan berkumpulan yang dimainkan pada altitud paling tinggi. Mereka sebelum ini pernah cuba mendaki gunung berkenaan beberapa bulan lebih awal, namun tidak berjaya sampai ke puncak kerana keadaan cuaca.
“Catur ialah permainan kegemaran kami dan ada sesuatu yang sangat mengagumkan apabila dapat bermain di puncak gunung,” kata Wininger kepada Guinness World Records (GWR).
Rekod baharu itu mengatasi pencapaian warga United Kingdom, Tim Maw dan Neil Laughton, dengan perbezaan 61 meter. Maw dan Laughton sebelum ini bermain catur pada ketinggian 6,215 meter di Gunung Putha Hiunchuli, Nepal, pada 2024.
Wininger berkata mereka berhasrat mengekalkan gelaran berkenaan. “Jika ada sesiapa yang berjaya mengatasi rekod kami, kami akan memecahkannya semula dengan kelebihan 61 meter setiap kali,” katanya.