Sabah terima peruntukan tapak terbesar bagi Jendela Fasa 2

KUALA LUMPUR: Sabah dijangka menerima peruntukan terbesar tapak infrastruktur telekomunikasi dalam kumpulan kedua projek Jaringan Digital Nasional (Jendela) Fasa 2, yang mungkin bermula tahun depan. Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kumpulan pertama fasa itu membabitkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan bagi kumpulan pertama diagihkan hampir sama rata antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan tapak diperuntukkan kepada setiap wilayah.
“Bagi kumpulan kedua, yang mungkin bermula tahun depan, majoritinya akan berada di Sabah, dengan negeri itu menerima peruntukan tapak terbesar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) berhubung pelaksanaan projek Jendela. Katanya, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula melaksanakan kumpulan pertama Jendela Fasa 2 secara berperingkat pada bulan ini.
Projek kumpulan pertama itu merangkumi pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 di Johor. Keutamaan pelaksanaan diberikan kepada kawasan berpenduduk, khususnya komuniti luar bandar dan terpencil yang masih belum mendapat liputan komunikasi.
Fahmi berkata Jendela Fasa 2 tidak terhad kepada penyediaan akses internet di sekolah. Pemilihan teknologi yang sesuai pula mengambil kira kepadatan penduduk, bentuk muka bumi serta ketersediaan infrastruktur sedia ada, katanya.