Gangguan elektrik tidak jejaskan 42,808 calon SPM di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 42,808 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah tidak terjejas oleh gangguan bekalan elektrik di kawasan pantai timur negeri itu sejak pagi ini. Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan, berkata peperiksaan yang bermula Isnin lalu berjalan lancar walaupun berlaku gangguan elektrik dan banjir, khususnya di Sook.
Beliau berkata pihaknya berharap bekalan elektrik di pusat peperiksaan yang terjejas dapat dipulihkan menjelang esok. Jika gangguan berterusan, langkah kontingensi telah disediakan bagi memastikan peperiksaan diteruskan tanpa masalah. Jabatan itu juga akan memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selesa dan tenang.
Sebanyak 324 pusat peperiksaan disediakan untuk calon, manakala 13,291 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran peperiksaan tahun ini. Jabatan Pendidikan Sabah turut mengutamakan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas melalui mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan.
Beberapa operasi kontingensi diaktifkan, termasuk Ops Payung bagi menangani risiko banjir, Ops Topeng ketika jerebu, Ops Gempa untuk bencana alam seperti gempa bumi dan Ops Wabak bagi menghadapi penyakit berjangkit.
Menara penghantaran elektrik T313 di Ranau runtuh awal pagi ini, menjejaskan kedua-dua litar talian penghantaran dan mengganggu bekalan ke kawasan pantai timur Sabah. Lapan daerah mengalami gangguan selepas Sabah Electricity Sdn Bhd mengesan insiden yang menjejaskan penghantaran elektrik ke kawasan berkenaan pada 6.04 pagi.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan 153 orang daripada 42 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana, susulan banjir di Sook.