Guardiola gesa Ronaldo dan FPF berdamai sebelum karier antarabangsa berakhir
Pep Guardiola menggesa Cristiano Ronaldo dan Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) mengetepikan perselisihan mereka supaya pemain itu menerima penghormatan sewajarnya sebelum menamatkan karier antarabangsa bersama Portugal.
Bekas pengendali Manchester City itu berkata sumbangan Ronaldo kepada skuad kebangsaan sepanjang lebih dua dekad wajar diraikan, bukannya dibayangi ketegangan atau kontroversi. Menurutnya, pemain berkenaan tidak sepatutnya meninggalkan pasukan dalam keadaan hubungan yang keruh.
“Persatuan Bola Sepak Portugal perlu memastikan pengakhiran karier Cristiano Ronaldo berlangsung dengan penuh bermaruah.
“Ronaldo tidak sepatutnya meninggalkan skuad kebangsaan dengan cara seperti ini. Mereka tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku,” katanya.
Guardiola berkata kedua-dua pihak perlu berusaha memulihkan hubungan agar perpisahan itu berlangsung secara harmoni. Beliau turut mencadangkan satu majlis penghormatan diadakan supaya Ronaldo dapat merasai penghargaan penyokong negaranya.
“Perlu ada usaha daripada kedua-dua pihak untuk memastikan perpisahan yang sewajarnya. Ronaldo berhak menamatkan karier antarabangsa mengikut caranya sendiri.
“Perlu ada satu sambutan yang membolehkannya merasai kasih sayang rakyat negaranya. Pada masa sama, dia juga perlu mengambil langkah untuk melupakan perkara lalu,” katanya.
Beliau berkata perjalanan karier seseorang pemain tidak seharusnya dinilai berdasarkan perselisihan yang berlaku dalam tempoh singkat, terutama selepas segala sumbangan dan pencapaian yang diraih.
Guardiola menegaskan pemain berstatus legenda seperti Ronaldo wajar dihormati hingga ke penghujung karier. Sumbangan mereka, katanya, bukan sahaja bermakna kepada pasukan, malah menjadi inspirasi kepada generasi pemain muda.
“Dia seorang figura yang sangat penting bukan sahaja kepada dirinya dan Portugal tetapi juga kepada generasi pemain akan datang.
“Kanak-kanak yang baru mula bermain bola sepak perlu melihat bagaimana pemain hebat seperti Romario, Ronaldo, Lionel Messi dan Paolo Maldini menamatkan karier mereka dengan penuh penghormatan,” katanya.