Richard, Tierney bukti pendedahan luar negara berkesan

Kuala Lumpur: Pendedahan beraksi di luar negara dilihat menjadi pemangkin utama peningkatan prestasi dua pemain muda, Richard Chin dan Fergus Tierney, yang berjaya memanfaatkan sepenuhnya peluang bersama skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman. Jurulatih berpengalaman, Mohd Fauzi Pilus berkata kedua-dua pemain itu jelas membuktikan kesungguhan tinggi apabila sanggup datang dari jauh dan menterjemahkan kemampuan sebenar mereka sebaik diberi kepercayaan menyarung jersi kebangsaan.
Menurutnya, tahap persaingan di luar negara secara semula jadi membentuk sikap daya saing tinggi sekali gus menghalang mereka daripada berada dalam zon selesa. "Memang ada perbezaan daripada segi 'sikap kompetitif' (competitive attitude) dan ini yang perlu kita wujudkan dalam liga kita supaya pemain tidak berasa selesa serta sentiasa mempunyai sikap seperti itu. "Kalau semua pemain berada dalam tahap persaingan sesama sendiri secara positif, liga kita akan semakin menarik kerana setiap pemain sentiasa berada tahap yang terbaik sama ada pada aksi domestik mahupun ketika dipanggil bersama skuad kebangsaan," kata Fauzi.
Terdahulu, Richard yang beraksi bersama Ross County muncul antara pemain negara yang paling menyerlah pada jendela antarabangsa kali ini di mana Richard meledak dua gol untuk membantu skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menewaskan Yaman 2-1. Fergus yang dilayangkan kad merah ketika skuad negara tewas 0-2 di tangan China turut menyaksikan jaringannya dibatalkan namun usaha dan prestasi pemain PAC Omonia 29M itu mendapat pujian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Dalam masa sama, Fauzi mengakui tindakan pemain beraksi di luar negara yang menghargai peluang panggilan kebangsaan dengan persembahan mantap demi maruah negara wajar dijadikan contoh oleh pemain tempatan. Malah, beliau turut menggesa pemain tempatan supaya berani keluar daripada zon selesa dan tidak melepaskan peluang sekiranya mendapat tawaran beraksi di luar negara demi perkembangan karier masing-masing. "Sebagai pemain profesional, kalau dapat peluang untuk beraksi di luar negara, pergilah dan rebut peluang itu di mana-mana pun," katanya.