Ribut di Pantai Timur AS ganggu penerbangan, lebih 800,000 terputus elektrik

Ribut melanda Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, mencetuskan amaran banjir dan angin kencang, mengganggu penerbangan serta menyebabkan lebih 800,000 pengguna terputus bekalan elektrik, lapor Xinhua.
Amaran angin kencang dan banjir berkuat kuasa dari Virginia Beach hingga New York City. Philadelphia, Baltimore dan Washington DC turut dilanda cuaca buruk. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran ribut di kawasan pesisir pantai dijangka membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir pesisir pantai di Pantai Timur sehingga Jumaat.
Cuaca buruk itu menjejaskan perjalanan udara pada antara hari paling sibuk dalam setahun. Lebih 400 penerbangan dibatalkan setakat Khamis, manakala lebih 1,800 lagi mengalami kelewatan.
Ribut turut memaksa perarakan Hari Kesyukuran Macy's ditangguhkan sehingga Sabtu. Penangguhan itu ialah yang pertama disebabkan cuaca dalam sejarah 100 tahun acara berkenaan. Philadelphia pula membatalkan perarakan Hari Kesyukurannya.
Setakat 3.30 petang waktu tempatan, lebih 800,000 pengguna di seluruh negara terputus bekalan elektrik. Virginia mencatatkan lebih 181,000 pengguna terjejas, diikuti Maryland dengan lebih 172,000 dan Pennsylvania dengan lebih 136,000.
Suruhanjaya Sanitari Pinggir Bandar Washington (WSSC) menggesa 1.9 juta penggunanya di daerah Montgomery dan Prince George's, Maryland, menggunakan air hanya untuk keperluan asas berikutan gangguan bekalan elektrik secara berselang-seli. Penduduk diminta mengehadkan penggunaan air, termasuk mengurangkan kekerapan mengepam tandas serta penggunaan mesin basuh dan mesin pencuci pinggan mangkuk.
Sementara itu, beberapa siri ribut dari Lautan Pasifik dijangka melanda Pantai Barat sehingga minggu depan, membawa hujan, salji di kawasan pergunungan, angin kencang, banjir pesisir pantai dan ombak tinggi.