Restoran China dikecam wajibkan pekerja wanita bersolek

SHANGHAI: Rangkaian restoran stimbot popular di China, Niu New Sukiyaki, berdepan kecaman selepas mewajibkan pekerja wanita, termasuk tukang cuci dan kakitangan dapur, bersolek ketika bertugas.
Menurut South China Morning Post (SCMP), peraturan penampilan itu menetapkan pekerja wanita mengenakan solekan seperti gincu, pembayang mata, celak dan bulu mata palsu. Sebaliknya, pekerja lelaki hanya perlu memastikan penampilan mereka bersih dan kemas.
Kontroversi tercetus selepas seorang pelanggan memuat naik hantaran dalam talian bagi mempertahankan pramusaji yang keletihan melayani jumlah pelanggan ramai, selain perlu mematuhi syarat bersolek sebelum memulakan tugas. Media China, Vista Hydrogen Business, melaporkan bahawa sesetengah cawangan hanya mengenakan syarat itu kepada pramusaji, manakala cawangan lain mewajibkan semua pekerja wanita bersolek.
Walaupun syarikat menyediakan elaun solekan bulanan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM60) kepada pekerja sepenuh masa, dasar berkenaan tetap dianggap tidak munasabah oleh kakitangan. Seorang bekas pekerja mendakwa mereka perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum bekerja.
Seorang pemohon kerja sambilan yang dikenali sebagai Linlin pula mendakwa permohonannya ditolak kerana tidak menggunakan penyembur rambut dan kurang mahir bersolek. Peraturan itu turut mendapat bantahan pelanggan yang berpendapat mutu makanan dan perkhidmatan lebih penting daripada penampilan pekerja. Mereka juga berpandangan pramusaji tidak sepatutnya diwajibkan kelihatan cantik untuk memenuhi kehendak pelanggan.
Niu New Sukiyaki belum memberikan maklum balas kepada permohonan komen SCMP sehingga laporan itu diterbitkan. Rangkaian bufet stimbot gaya Jepun itu diasaskan di Shanghai dan sebelum ini tular selepas memperkenalkan ruang makan mesra “introvert” untuk pelanggan yang datang bersendirian.
Restoran itu menawarkan hidangan stimbot individu pada harga purata 150 yuan (kira-kira RM92) seorang dan menarik ramai pelanggan muda. Niu New Sukiyaki juga antara restoran paling sukar ditempah di China, dengan tempoh menunggu mencecah lapan jam. Nombor giliran dilaporkan dijual semula pada harga sehingga 300 yuan (kira-kira RM185).
Popularitinya turut dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi solo di China. Banci negara itu pada 2020 merekodkan kira-kira 125 juta penduduk tinggal bersendirian, mendorong pelbagai perniagaan menyediakan produk dan perkhidmatan khusus untuk golongan berkenaan.