Restoran latihan beri peluang baharu kepada banduan

LONDON: Badan kebajikan The Right Course membuka restoran latihan pertamanya di penjara wanita HMP Drake Hall, sekali gus memperluas program latihan hospitaliti kepada banduan wanita di England.
Program yang diperjuangkan personaliti televisyen Perancis, Fred Sirieix itu bertujuan membantu banduan memperoleh kemahiran dan pekerjaan selepas dibebaskan. Sirieix berkata, usaha mengendalikan restoran di penjara bukan bermakna pihak berkuasa berlembut terhadap jenayah, sebaliknya memberi peluang kepada banduan membina kehidupan baharu.
The Right Course melatih banduan dalam penyediaan makanan dan pengurusan ruang makan. Mereka menyediakan hidangan kepada kakitangan penjara sebagai sebahagian daripada latihan. Sebelum pembukaan di HMP Drake Hall, badan itu mengendalikan enam restoran latihan di penjara lelaki.
Sirieix berkata, pendekatan hukuman keras yang pernah diamalkan pada era Victoria tidak berkesan dan banduan perlu diberikan kemahiran serta peluang untuk membina kehidupan lebih baik selepas menjalani hukuman.
“Kita sudah mencuba memukul orang, memancung kepala, menggantung serta menjalankan hukuman tarik dan belah tubuh. Kita sudah mencuba segala-galanya tetapi ia tetap tidak berhasil,” katanya kepada PA Media.
“Kami bukan mahu berlembut terhadap jenayah, sebaliknya mahu membantu mereka yang memerlukan dan tidak pernah diberikan peluang,” katanya.
Menurut The Right Course, kira-kira 55 peratus banduan yang menamatkan kursus itu berjaya mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan. Peratusan berkenaan meningkat kepada lebih 90 peratus bagi mereka yang terus berhubung dengan badan kebajikan itu.
Sirieix berkata, latihan hospitaliti bukan hanya membekalkan kemahiran penyediaan makanan, malah membantu banduan membina kemahiran sosial, termasuk berkomunikasi, berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan orang lain. Kemahiran itu penting untuk membantu mereka mengekalkan pekerjaan.
Beliau berkata, program berkenaan turut memberi manfaat kepada industri hospitaliti di United Kingdom (UK), yang berdepan kekurangan kakitangan dan tenaga kerja mahir. Usaha itu juga dapat membantu mengurangkan kesalahan berulang serta populasi penjara.
Sirieix, yang pernah bekerja di beberapa restoran terkenal di London termasuk Le Gavroche, Sartoria dan Brasserie Roux, berkata beliau membesar dalam persekitaran penuh kasih sayang serta menerima sokongan ibu bapa, berbeza dengan keadaan yang mungkin dialami sesetengah banduan.
“Kasih sayang, sokongan dan perhatian yang saya terima sepanjang hidup membantu saya bangkit semula setiap kali terjatuh. Namun, bagi sesetengah individu ini, apabila mereka jatuh, mereka terus berada dalam kesusahan,” katanya.
Setiap restoran latihan menerapkan prinsip dan nilai sama seperti restoran di luar penjara, walaupun beroperasi dengan peruntukan sangat terhad. Sirieix berkata, suasana yang lebih selesa dan menarik boleh mengubah cara banduan melihat diri serta persekitaran mereka.
Beliau berharap program itu dapat diperluas dengan membuka pusat latihan di setiap penjara yang bersesuaian di England dan Wales. Namun, katanya, kualiti pengajaran dan restoran akan terus menjadi keutamaan.