MEF: Rakyat Malaysia perlu diutamakan sebelum pelarian diambil bekerja

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan mengisi kekosongan pekerjaan, manakala majikan mesti membuktikan keperluan sebenar terhadap tenaga kerja dan usaha mengambil pekerja tempatan sebelum memohon kelulusan menggaji pelarian yang memenuhi syarat kelayakan, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada Rabu.
Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata persekutuan itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelarian yang memiliki kemahiran khusus atau kepakaran yang tiada dalam kalangan rakyat Malaysia boleh dipertimbangkan untuk bekerja secara kes demi kes.
“Rakyat Malaysia mesti sentiasa diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang tersedia di negara ini merentasi semua sektor dan bidang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Syed Hussain, pelarian yang memenuhi syarat kelayakan hanya wajar dipertimbangkan sebagai sumber tenaga kerja alternatif apabila kekosongan sebenar masih tidak dapat diisi kerana tiada pekerja tempatan yang tersedia. Pertimbangan juga boleh dibuat jika kemahiran dan kepakaran yang diperlukan tidak dapat diperoleh dalam negara.
MEF berkata pengambilan pelarian perlu dikawal selia dengan teliti melalui syarat yang jelas, selaras dengan keutamaan pasaran buruh negara, pertimbangan keselamatan dan kepentingan ekonomi Malaysia. Kawalan itu, menurut persekutuan berkenaan, penting untuk memberi kepastian kepada majikan, melindungi pekerja tempatan serta membendung pekerjaan tanpa dokumen, eksploitasi dan amalan pengambilan pekerja tidak teratur.
Syed Hussain turut menegaskan bahawa pendaftaran, pengenalpastian, tapisan dan pemberian kebenaran bekerja kepada pelarian perlu kekal di bawah kuasa serta penyelarasan kerajaan menerusi sistem berpusat yang mempunyai akauntabiliti.
“Dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada pendaftaran oleh kerajaan atau kebenaran untuk bekerja di Malaysia,” katanya.
Berhubung pengambilan ekspatriat, beliau berkata Malaysia perlu terus terbuka kepada tenaga kerja antarabangsa yang mempunyai kepakaran khusus untuk menyokong operasi perniagaan, projek pelaburan, pembangunan teknologi dan perniagaan baharu. Namun, beliau menegaskan ekspatriat dan pelarian ialah dua kategori berbeza yang memerlukan pertimbangan dasar berlainan.
Menurutnya, pengambilan ekspatriat perlu disertai komitmen jelas untuk membangunkan keupayaan tenaga kerja tempatan. Beliau berkata Malaysia tidak boleh bergantung kepada kepakaran import untuk jangka panjang, sebaliknya perlu membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
MEF menggesa majikan yang menggaji ekspatriat menyediakan pelan penggantian dan penyetempatan tenaga kerja yang meyakinkan. Pelan itu perlu merangkumi pemindahan pengetahuan dan teknologi, bimbingan serta pembangunan kemahiran berterusan.
Kemajuan pelaksanaan pelan berkenaan, katanya, boleh dinilai ketika pembaharuan pas penggajian dengan mengambil kira sifat jawatan, ketersediaan bakat tempatan dan pencapaian mengikut pelan pembangunan yang diluluskan. Sebelum memohon pembaharuan, majikan seharusnya menunjukkan kemajuan bermakna dalam melatih pekerja tempatan, memindahkan pengetahuan dan menyediakan pengganti dalam kalangan rakyat Malaysia yang sesuai, tertakluk kepada ketersediaan kemahiran serta tempoh pembangunan yang munasabah.