PTVM, PROFIMA sepakat perkukuh enam agenda industri kreatif

Sumber: Harian Metro
PTVM, PROFIMA sepakat perkukuh enam agenda industri kreatif
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mencapai persefahaman untuk memperkukuh kerjasama antara majikan dengan pekerja menerusi enam agenda bagi membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan, adil dan berdaya saing.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata persefahaman itu dicapai susulan kunjungan hormat delegasi PROFIMA yang diketuai Presidennya, Khalil Salleh. Kedua-dua persatuan bersetuju memperjuangkan agenda yang menyentuh peluang pekerjaan, kebajikan dan hubungan antara pihak dalam industri.

Agenda pertama ialah menggesa Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi menyediakan peruntukan lebih besar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), bagi meningkatkan pembelian program televisyen swasta daripada syarikat penerbitan tempatan. Jurey berkata, peningkatan perolehan dapat membawa kepada lebih banyak produksi, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan sumber rezeki kepada penggiat industri.

Beliau berkata, peruntukan tambahan juga berupaya memberikan ruang perolehan kepada lebih ramai penerbit tempatan, selain mewujudkan peluang kerja kepada pengarah, penulis skrip, pelakon, kru teknikal dan tenaga kerja kreatif lain.

PTVM dan PROFIMA turut mencadangkan keahlian PROFIMA diwajibkan kepada semua pekerja produksi di belakang tabir, sementara syarikat penerbitan televisyen diwajibkan menjadi ahli PTVM. Langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan industri dan profesionalisme, di samping memudahkan pelaksanaan dasar berkaitan pekerjaan serta kebajikan. Jurey berkata pelaksanaannya akan diperhalusi dengan pihak berkuasa bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang dan hak pihak terlibat.

Agenda seterusnya ialah memperjuangkan perlindungan keselamatan sosial melalui caruman PERKESO untuk semua pekerja industri kreatif, termasuk pekerja bebas dalam produksi televisyen dan filem. Mekanisme berhubung perkara itu akan dicadangkan kepada PERKESO serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Kedua-dua persatuan juga merancang menubuhkan Tabung Kebajikan Pekerja Industri Kreatif bagi membantu penggiat yang menghadapi kesulitan hidup, kemalangan, penyakit serius atau musibah. Tabung itu dirancang melalui kerjasama persatuan, syarikat penerbitan dan pemain industri, selain sumbangan kerajaan serta korporat, dengan tadbir urus yang telus.

PTVM dan PROFIMA turut bersetuju menganjurkan Townhall Industri Kreatif pada Januari 2027. Program itu akan menghimpunkan syarikat penerbitan, pekerja industri, persatuan berkaitan serta wakil kementerian dan agensi kerajaan untuk membincangkan peluang pekerjaan, kadar upah, perlindungan sosial dan kebajikan. Ia juga disasarkan menjadi platform pelancaran tabung kebajikan berkenaan, tertakluk kepada penyempurnaan persediaan dan mekanisme pelaksanaannya.

Sebagai agenda keenam, kedua-dua persatuan akan menggunakan musyawarah, rundingan dan persefahaman untuk menangani perbezaan pandangan antara majikan dengan pekerja secara matang dan berhemah. Jurey berkata kedua-dua pihak saling memerlukan kerana majikan memerlukan pekerja untuk menghasilkan produksi, manakala pekerja memerlukan syarikat penerbitan untuk menyediakan peluang pekerjaan.