Projek naik taraf Parlimen RM115 juta siap 17 hari lebih awal

Sumber: Astro Awani
Projek naik taraf Parlimen RM115 juta siap 17 hari lebih awal
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf dan membaik pulih Bangunan Parlimen Malaysia Fasa 2C (II) bernilai RM115 juta disiapkan 17 hari lebih awal daripada jadual dan diserahkan kepada Parlimen Malaysia hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek yang siap pada 30 Okt itu melibatkan dua skop utama. Skop pertama merangkumi kerja naik taraf dan baik pulih Blok Menara, Blok Dewan Persidangan Sementara serta Galeri Parlimen di Blok Utama.

Skop kedua ialah pembinaan kemudahan baharu, termasuk blok parkir tiga tingkat serta kawasan letak kenderaan terbuka dan berbumbung. Kemudahan itu menyediakan 332 petak kereta, 239 petak motosikal dan tiga petak bas.

Pembinaan turut meliputi Pondok Pengawal 2, Pintu Pagar 2, laluan pejalan kaki berbumbung dan pintu pagar utama. Nanta berkata projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Parlimen Malaysia, Jabatan Warisan Negara serta pihak industri.

Beliau berkata kemudahan yang dinaik taraf akan membantu urusan persidangan dan tugas harian warga Parlimen. Kemudahan parkir dan laluan pejalan kaki berbumbung pula memudahkan pergerakan warga Parlimen serta pelawat di dalam kompleks itu.

Nanta berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan projek di Dewan Serbaguna, Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) itu merangkumi tujuh fasa utama, iaitu Fasa 1A, 2A, 2B, 3A, 3B, 2C (I) dan 2C (II), dengan kos siling asal RM520 juta. Semua fasa dilaksanakan secara konvensional, dengan Bahagian Pengurusan Projek 4, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) sebagai pengurus program dan pasukan Pereka Bentuk (HODT), manakala Blackfox Engineering Sdn Bhd menjadi kontraktor utama.

Nanta berkata kerja naik taraf dan baik pulih dilaksanakan mengikut keperluan pemuliharaan bangunan warisan, memandangkan Bangunan Parlimen berstatus warisan kebangsaan. Kerja berkenaan memberi perhatian kepada pemeliharaan bahan binaan dan unsur seni bina asal.

Beliau turut meminta kontraktor terus menunaikan tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan seperti ditetapkan dalam kontrak. Aduan berkaitan kecacatan perlu disemak segera dan setiap kecacatan yang dikenal pasti hendaklah dibaiki mengikut ketetapan kontrak, katanya.

Sementara itu, Johari berkata beberapa penambahbaikan kemudahan Parlimen sedang dibincangkan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya susulan pemberian autonomi kepada institusi itu mulai 1 Okt. Kementerian Ekonomi pada dasarnya bersetuju dengan cadangan berkenaan, manakala perbincangan lanjut sedang diadakan bagi memuktamadkannya menerusi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Majlis itu dijangka bermesyuarat pada awal tahun depan. Johari berkata penambahbaikan sedang dilakukan dan berharap status autonomi membolehkan tanggungjawab yang diberikan kepada Parlimen dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut berkata bangunan bagi persidangan Parlimen Belia yang akan mula berfungsi pada 1 Jan 2027 sudah siap dibina. Institusi itu akan melibatkan penyertaan 222 ahli.