Abdul Karim: Tidak bertanding juga sebahagian daripada demokrasi

Sumber: Astro Awani
Abdul Karim: Tidak bertanding juga sebahagian daripada demokrasi
Gambar: Astro Awani

KUCHING: Keputusan parti politik untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 ialah hak setiap parti dan sebahagian daripada amalan demokrasi, kata Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, demokrasi tidak seharusnya dinilai berdasarkan sama ada pertandingan berlaku dalam setiap pilihan raya. Keputusan beberapa parti nasional untuk tidak bertanding kali ini, katanya, wajar dihormati kerana mencerminkan pemahaman terhadap landskap politik serta hubungan kerjasama antara parti di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Sama ada kita mahu bertanding atau tidak, itu juga demokrasi. Tidak bertanding juga demokrasi, bertanding pun demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menyifatkan keputusan PKR untuk tidak bertanding sebagai tindakan mengorbankan demokrasi Sarawak demi kepentingan politik di peringkat Persekutuan.

Pada 25 November, Chong mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk kepada tekanan GPS dengan menarik PKR daripada PRN Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan gabungan itu terhadap Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata parti yang berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan tidak bercadang meletakkan calon juga berhak membuat keputusan tersebut. Beliau menyifatkan keputusan PKR, UMNO, Amanah dan Bersatu untuk tidak bertanding sebagai perkembangan positif yang menunjukkan pemahaman terhadap keperluan menjaga hubungan politik antara negeri dan Persekutuan.

Abdul Karim turut menyindir Chong dengan menyatakan kemungkinan Pengerusi DAP Sarawak itu berasa terpinggir apabila parti lain memilih untuk tidak menyertai pilihan raya kali ini. Beliau juga mempersoalkan pendirian DAP yang, menurutnya, mahu bekerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan tetapi mengambil pendekatan berbeza di Sarawak.

Hari penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13 ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal dijadualkan pada 8 Disember dan pengundian pada 12 Disember.