The Grand Old Lady, titik mula industri petroleum Malaysia di Miri

MIRI: Telaga minyak komersial pertama Malaysia di Bukit Kanada, Miri, menjadi titik permulaan industri petroleum moden negara. Dikenali sebagai The Grand Old Lady, telaga itu kini menjadi mercu tanda bersejarah yang mengingatkan kepada perubahan besar dalam perkembangan Miri.
Ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kru Astro AWANI berkesempatan menelusuri sejarah telaga berkenaan. Menurut Jabatan Muzium Sarawak, kerja menggerudi Miri No. 1 bermula pada 10 Ogos 1910 sebelum minyak ditemukan pada kedalaman 136 meter pada 22 Disember tahun sama.
Telaga itu kemudian menghasilkan kira-kira 83 tong minyak sehari. Perkembangan industri petroleum di Miri diteruskan dengan permulaan eksport minyak mentah pada 1913, sebelum kilang penapisan minyak pertama Malaysia dibuka di bandar itu pada 1914.
Menara gerudi bersejarah setinggi 30 meter itu turut melalui tempoh sukar ketika Perang Dunia Kedua. Pejabat Shell di Miri dibom, manakala kilang penapisan di Lutong mengalami kerosakan akibat peperangan. Peralihan kepada penerokaan minyak luar pesisir kemudian menjadi sebahagian daripada perubahan landskap industri petroleum di Sarawak.
Selepas beroperasi lebih enam dekad, pengeluaran minyak di Miri No. 1 dihentikan pada 1972. Walaupun tidak lagi berfungsi sebagai telaga pengeluaran, The Grand Old Lady kekal sebagai lambang permulaan industri petroleum Malaysia dan menyaksikan transformasi Miri daripada penempatan kecil kepada bandar raya yang berkembang pesat menerusi industri minyak dan gas.
Bukit Kanada turut menawarkan pemandangan bandar raya Miri dari kawasan tanah tinggi. Di hadapan The Grand Old Lady, pengunjung juga boleh melawat Muzium Petroleum, yang memaparkan sejarah serta perkembangan industri minyak dan gas di Malaysia.