SPR rujuk AGC isu implikasi jika GPS raih majoriti mudah

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan pengesahan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai implikasi perundangan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selesai esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata perkara itu masih diteliti AGC bagi memastikan sebarang tindakan atau keputusan mematuhi peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa.
Menurutnya, semua proses pilihan raya yang ditetapkan perlu diteruskan berdasarkan peraturan semasa. SPR hanya akan membuat pengumuman mengenai isu berkenaan selepas menerima pengesahan daripada pihak berkaitan.
“Saya sudah minta perkara ini disemak dengan pihak AGC dan perkara ini masih lagi dalam semakan. Ada peraturan-peraturan berkaitan yang perlu kita patuhi,” katanya.
“Kalau berdasarkan peraturan sedia ada, kita kena lihat semua proses pilihan raya ini terpaksa juga dijalankan, mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma, hari ini.