Penduduk Miri harap pembangunan lebih menyeluruh menjelang PRN Sarawak

Sumber: Astro Awani
Penduduk Miri harap pembangunan lebih menyeluruh menjelang PRN Sarawak
Gambar: Astro Awani

MIRI: Penduduk Miri berharap pembangunan di bandar raya itu diperkukuh, terutama dalam aspek peluang ekonomi, infrastruktur dan pengangkutan awam, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Tinjauan Astro AWANI di Miri mendapati penduduk turut mengharapkan pembangunan yang dapat memudahkan pergerakan antara bandar raya dengan kawasan kampung. Aspirasi itu hadir seiring peranan Miri sebagai antara bandar utama di utara Sarawak dan destinasi kunjungan masyarakat dari kawasan sekitarnya, termasuk Brunei.

Sejarah pembangunan Miri berkait rapat dengan industri minyak dan gas, yang menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonominya sejak lebih satu abad lalu. Industri itu turut menyokong peluang pekerjaan, perniagaan sokongan dan permintaan terhadap perkhidmatan seperti pengangkutan, perhotelan serta peruncitan.

Pekerja swasta, Fredrick Lesly Anak Elvis, berkata tarikan Miri kepada pengunjung luar mencerminkan perkembangan bandar raya itu, termasuk melalui kepelbagaian premis perniagaan.

“Saya berharap kemajuan ini dikekalkan kerana kebanyakan orang dari luar, terutamanya dari Brunei, Bintulu dan Sibu, datang ke sini untuk menikmati hasil aktiviti ekonomi di Miri,” katanya.

Peniaga Sandra Ahie pula melihat kemajuan Miri melalui perkembangan sektor perniagaan dan peningkatan kehadiran pelancong. Selain kegiatan ekonomi, penduduk turut memberi perhatian kepada keadaan jalan raya yang menghubungkan kawasan kampung.

Peniaga Rosita Uring Katan berkata pembangunan perlu merangkumi penambahbaikan jalan raya supaya perjalanan ke kawasan kampung menjadi lebih mudah.

“Bukan sahaja dari segi bangunan, kita juga mahu tengok dari segi jalan raya. Semakin mudah untuk pergi ke kawasan kampung,” katanya.

Kemudahan pengangkutan awam yang lebih meluas juga antara harapan penduduk. Peniaga Siti Syahmina Wahiad berkata perkhidmatan percuma yang sedia ada diharap dapat meliputi lebih banyak kawasan.

“Adalah lebih baik jika lebih banyak kemudahan pengangkutan awam disediakan.

“Sekarang memang sudah ada pengangkutan awam percuma, cuma ada kawasan tertentu sahaja yang diliputi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Dalam pada itu, usaha memperkukuh kesalinghubungan Miri diteruskan menerusi beberapa projek strategik yang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri. Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), projek berkenaan termasuk pembangunan Pelabuhan Miri, pembinaan rangkaian jalan raya ke kawasan pedalaman serta cadangan pembesaran Lapangan Terbang Miri.

Projek-projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di Bahagian Miri serta wilayah utara Sarawak. Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata projek berimpak tinggi berkenaan akan memperkukuh kesalinghubungan, menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Pada Mac lalu, Lee turut menekankan peningkatan kesalinghubungan serantau melalui syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri, AirBorneo.

Parlimen Miri merangkumi tiga kawasan DUN, iaitu Piasau, Pujut dan Senadin. Statistik Daftar Pemilih SPR setakat 25 Okt 2026 menunjukkan Senadin merekodkan jumlah pengundi berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun tertinggi di Sarawak, iaitu 6,119 orang.