Menjelang PRN Sarawak, penduduk Miri harap pembangunan lebih menyeluruh

Sumber: Astro Awani
Menjelang PRN Sarawak, penduduk Miri harap pembangunan lebih menyeluruh
Gambar: Astro Awani

MIRI: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, penduduk Miri berharap pembangunan bandar raya itu terus diperkukuh, terutama dalam aspek peluang ekonomi, infrastruktur dan pengangkutan awam.

Tinjauan Astro AWANI di bandar raya berkenaan mendapati penduduk turut mahu kemajuan yang dinikmati Miri meliputi kawasan lebih luas, termasuk melalui penambahbaikan jalan raya yang menghubungkan kampung serta peluasan liputan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pembangunan Miri sejak lebih satu abad lalu berkait rapat dengan industri minyak dan gas, yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonominya. Perkembangan sektor itu merancakkan peluang pekerjaan dan perniagaan sokongan, selain meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, perhotelan serta peruncitan.

Kedudukannya sebagai antara bandar utama di utara Sarawak turut menjadikan Miri destinasi kunjungan penduduk dari kawasan sekitar, termasuk Brunei. Pekerja swasta, Fredrick Lesly Anak Elvis, berkata kehadiran pengunjung dari luar dan kepelbagaian premis perniagaan mencerminkan perkembangan bandar raya itu.

“Saya berharap kemajuan ini dikekalkan kerana kebanyakan orang dari luar, terutamanya dari Brunei, Bintulu dan Sibu, datang ke sini untuk menikmati hasil aktiviti ekonomi di Miri,” katanya.

Peniaga Sandra Ahie pula melihat kemajuan Miri melalui perkembangan sektor perniagaan dan pertambahan kehadiran pelancong. Pada masa sama, penduduk turut menaruh harapan agar pembangunan tidak hanya tertumpu pada bangunan, tetapi merangkumi kemudahan asas yang memudahkan perjalanan ke kawasan kampung.

Peniaga Rosita Uring Katan berkata peningkatan jaringan jalan raya perlu diberi perhatian dalam usaha membangunkan Miri. “Bukan sahaja dari segi bangunan, kita juga mahu tengok dari segi jalan raya. Semakin mudah untuk pergi ke kawasan kampung,” ujarnya.

Siti Syahmina Wahiad, yang juga seorang peniaga, berharap lebih banyak kawasan dapat menerima perkhidmatan pengangkutan awam. Beliau berkata perkhidmatan percuma sudah disediakan, namun liputannya masih terhad kepada kawasan tertentu.

“Adalah lebih baik jika lebih banyak kemudahan pengangkutan awam disediakan.

“Sekarang memang sudah ada pengangkutan awam percuma, cuma ada kawasan tertentu sahaja yang diliputi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan, beberapa projek pembangunan strategik sedang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri. Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), projek itu termasuk pembangunan Pelabuhan Miri, pembinaan rangkaian jalan raya ke kawasan pedalaman dan cadangan pembesaran Lapangan Terbang Miri.

Projek berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di Bahagian Miri serta wilayah utara Sarawak. Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata projek berimpak tinggi itu akan memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan daya tarikan pelaburan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Pada Mac lalu, beliau turut menekankan peningkatan kesalinghubungan serantau melalui syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri, AirBorneo.

Parlimen Miri merangkumi tiga kawasan DUN, iaitu Piasau, Pujut dan Senadin. Statistik Daftar Pemilih SPR setakat 25 Okt 2026 menunjukkan DUN Senadin mencatatkan jumlah pengundi berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun tertinggi di Sarawak, dengan 6,119 orang.