Abdul Karim: Parti tidak bertanding juga amalkan demokrasi

Sumber: Harian Metro
Abdul Karim: Parti tidak bertanding juga amalkan demokrasi
Gambar: Harian Metro

KUCHING: Keputusan beberapa parti nasional untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bukan bermakna demokrasi di negeri itu dikorbankan, sebaliknya mencerminkan hak setiap parti menentukan pendirian politik masing-masing.

Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan PKR, UMNO, AMANAH dan BERSATU tidak menyertai PRN kali ini wajar dihargai kerana menunjukkan pemahaman terhadap pendekatan politik di Sarawak yang mengutamakan hubungan dan kestabilan.

Beliau berkata, persaingan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menghalang parti daripada bekerjasama apabila berada di peringkat Persekutuan. Katanya, politik tidak sepatutnya menjadi medan permusuhan yang berterusan antara parti.

“Di Sarawak kita bergaduh, berlawan sama sendiri, selepas itu kita pergi ke Kuala Lumpur kita berkawan. Ia tidak sepatutnya berlaku begitu kerana politik bukan sesuatu yang boleh kita main-mainkan,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui selepas menerima watikah pencalonan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menyifatkan keputusan PKR tidak bertanding sebagai pengorbanan demokrasi negeri demi kepentingan politik.

Menurut Abdul Karim, sama ada sesebuah parti memilih untuk bertanding atau tidak, kedua-duanya merupakan amalan demokrasi. Beliau mempersoalkan dakwaan bahawa setiap pilihan raya perlu menyaksikan pertandingan untuk membolehkan demokrasi berkembang.

“Sama ada kita nak bertanding ataupun tidak bertanding, itu adalah demokrasi. Tidak bertanding pun demokrasi juga, bertanding pun demokrasi juga. Apa hak beliau (Chieng Jen) mengatakan setiap pilihan raya mesti ada pertandingan, baru kita lihat demokrasi berkembang? Tidak. Kita tetap mengamalkan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya rakyat berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan parti tertentu memilih untuk tidak meletakkan calon, keputusan itu perlu dihormati. Abdul Karim turut menolak dakwaan Chieng bahawa keputusan PKR tidak bertanding dibuat demi kepentingan politik di peringkat Persekutuan.

Chieng sebelum ini mendakwa keputusan PKR Sarawak itu menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tunduk kepada tekanan GPS bagi memastikan sokongan gabungan berkenaan terhadap kerajaan Persekutuan berterusan. Beliau berkata sokongan itu diperlukan supaya Anwar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal, khususnya jika Barisan Nasional (BN) menarik sokongan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim mendakwa Chieng mungkin berasa terpinggir susulan keputusan beberapa parti lain untuk tidak bertanding, sekali gus meletakkan DAP dalam keadaan berbeza berbanding parti nasional lain. Katanya, DAP dilihat mempunyai pendekatan berlainan dalam hubungan politik di peringkat Persekutuan dan Sarawak.

“Di peringkat Persekutuan, DAP mahu berkawan dengan kita, tetapi di sini, kita tidak dapat berkawan dengan mereka,” katanya.