DAP Sarawak pertimbang tambah dua kerusi atau lebih pada PRN ke-13

Sumber: Astro Awani
DAP Sarawak pertimbang tambah dua kerusi atau lebih pada PRN ke-13
Gambar: Astro Awani

KUCHING: DAP Sarawak tidak menolak kemungkinan menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding. Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kong, berkata keputusan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam satu atau dua hari, menjelang penamaan calon pada Sabtu.

Alan berkata DAP telah bermesyuarat pada Rabu bagi meneliti perkembangan terbaharu itu dan sedang mempertimbangkan langkah strategik, termasuk menentukan kawasan yang mungkin ditandingi. Sebelum ini, parti itu mengumumkan akan bertanding di 12 kerusi.

Menurutnya, DAP tidak mahu kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR dimenangi tanpa pertandingan. Beliau berkata perkara itu menjadi perhatian khususnya di Miri, apabila DAP memberikan dua kerusi tradisinya kepada PKR.

“Kita tidak ‘membenarkan’ kerusi itu menang tanpa bertanding. Lebih-lebih lagi di Miri kita telah memberikan dua kerusi tradisi DAP untuk PKR, tetapi mereka tidak bertanding,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Ibu Pejabat DAP di sini, pada Khamis.

Mengulas jumlah kerusi yang mungkin ditandingi, Alan berkata DAP tidak menolak kemungkinan menambah dua kerusi atau lebih daripada 12 yang diumumkan sebelum ini. Beliau turut menjelaskan bahawa pertimbangan itu bukan hanya tertumpu kepada Miri, sebaliknya melibatkan beberapa kawasan lain.

“Mungkin akan ada tambahan dua kerusi ataupun lebih,” katanya, sambil memaklumkan keputusan utama mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat kerana hanya tinggal beberapa hari sebelum penamaan calon.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Alan berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti. Beliau menjelaskan perancangan asal adalah untuk memberi tumpuan kepada DUN Pujut, dan beliau secara sukarela mencadangkan seorang muka baharu sebagai calon di kawasan itu. Cadangan berkenaan diterima parti.

Alan berkata beliau tidak bercadang untuk berundur, sebaliknya mahu memainkan peranan lain. Namun, perubahan pendirian PKR untuk tidak bertanding di dua kerusi berkenaan menyebabkan namanya mungkin dipertimbangkan sekiranya DAP memutuskan untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Jika parti membuat keputusan untuk bertanding, saya mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan setakat ini,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata calon hanya dapat disahkan selepas watikah pelantikan dikeluarkan kerana parti turut mempunyai calon lain.

Pada Selasa lalu, PKR Sarawak mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama politik dan persefahaman dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan. Keputusan itu dimuktamadkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menerusi kenyataan media bertarikh 24 November, empat hari sebelum penamaan calon.