721 borang penamaan calon PRN Sarawak terjual

KUCHING: Sebanyak 721 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 telah dijual kepada parti politik dan individu setakat malam tadi, menjelang proses penamaan calon esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, 40 bakal calon daripada jumlah itu telah membayar deposit pilihan raya untuk menyertai pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak bersedia menerima calon dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi esok. Ramlan berkata demikian selepas meninjau persiapan dan simulasi proses berkenaan di pusat penamaan calon DUN Samariang, di sini pada Jumaat.
Ramlan memohon kerjasama parti politik dan individu yang terlibat supaya mematuhi peraturan serta arahan SPR dan pihak berkuasa. Beliau berkata, pematuhan itu penting bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, tertib dan teratur tanpa sebarang kejadian yang mengganggu ketenteraman awam.
Semua calon turut dinasihatkan hadir lebih awal dan menyemak dokumen pencalonan bersama pegawai pengurus pilihan raya masing-masing bagi mengelakkan masalah ketika proses berlangsung.
Penamaan calon esok akan memulakan tempoh berkempen selama 14 hari sebelum hari pengundian pada 12 Disember.