Premis sembelihan tanpa sijil halal di Puchong didakwa minggu hadapan

Sumber: Harian Metro
Premis sembelihan tanpa sijil halal di Puchong didakwa minggu hadapan
Gambar: Harian Metro

Shah Alam: Premis yang dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah di Puchong akan didakwa minggu hadapan atas beberapa kesalahan termasuk enakmen undang-undang syariah, menurut EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah. Beliau berkata premis yang dipercayai beroperasi sejak 2004 itu juga akan didakwa mengikut kesalahan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk aspek perlesenan.

Dr Fahmi berkata isu premis di Puchong ini ada sebutan kes dan pendakwaan bawah PBT dan juga enakmen undang-undang syariah, dalam sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor. Beliau menambah tindakan menyita premis penyembelihan yang tidak berlesen dilihat tidak sesuai memandangkan permintaan harian bagi ayam dianggarkan mencecah 5,000 ekor.

Beliau turut menjelaskan walaupun operasi dijalankan tanpa lesen sah, ada antara pemilik yang menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah, sekali gus mengurangkan keraguan isu halal bagi orang Islam. “Kalau kita tutup semua (tak berlesen) akan hilang kapasiti tersebut. Banyak ayam diimport dari luar tetapi disembelih di sini. Nak dapatkan lesen PBT, kena syaratkan penyembelih bertauliah, untuk pastikan juga aspek keterjaminan makanan,” katanya.

Fahmi menekankan kebersihan adalah wajar untuk semua, bukan umat Islam sahaja, dan menyatakan ini perubahan dasar yang akan dilaksanakan selepas sesi dewan DUN tersebut. Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan menyiasat sebuah premis penyembelihan ayam di Kampung Sri Aman Puchong selepas disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan tidak mengikut hukum syarak.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata 12 pekerja dipercayai warga Bangladesh dan Pakistan berada di premis ketika serbuan dilakukan. Menurutnya, siasatan awal mendapati pekerja terbabit dipercayai melakukan penyembelihan ayam selepas haiwan itu mati akibat proses renjatan air menggunakan arus elektrik melebihi kadar voltan dibenarkan.