Menara ERS sementara tiba di Ranau, usaha pulihkan bekalan elektrik bermula

Komponen menara sistem pemulihan kecemasan sementara (ERS) tiba di lokasi menara penghantaran T313 yang runtuh di Ranau pagi ini bagi membolehkan kerja memulihkan talian bekalan elektrik antara pantai barat dan pantai timur Sabah dimulakan.
Sabah Electricity berkata lori yang membawa kontena menara ERS sementara itu tiba di lokasi pada 1.07 pagi. Pasukan teknikalnya sudah digerakkan untuk menjalankan kerja persediaan sebelum pemasangan menara bermula.
Menurut syarikat itu, kerja akan dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan pematuhan prosedur. Sabah Electricity turut memperhebat usaha mempercepat pemulihan bekalan kepada pengguna yang terjejas.
“Kami amat menghargai kesabaran anda dan dengan tulus memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” kata Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini.
Menara T313 runtuh semalam dan kejadian itu dikesan pada 6.04 pagi. Kejadian berkenaan memutuskan dua litar talian penghantaran yang membekalkan elektrik dari pantai barat Sabah ke pantai timurnya.
Gangguan bekalan itu menjejaskan lapan daerah dan 153,599 pengguna. Usaha mengalihkan kabel yang menghalang laluan utama di Jalan Ranau-Telupid turut dijalankan susulan keruntuhan menara berkenaan.