Fatimah: Wanita bawa dimensi kemanusiaan dalam pembangunan Sarawak

Sumber: Bernama English

KUCHING, 26 Nov (Bernama) -- Penyertaan wanita dalam kerajaan penting bagi memastikan dasar dan keputusan mengambil kira keperluan serta kesejahteraan rakyat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Fatimah, yang juga Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata wanita membawa dimensi kemanusiaan dan sosial dalam penggubalan dasar serta pelaksanaan program kerajaan, melengkapi pembangunan fizikal negeri.

Beliau berkata pengalaman profesional, latar belakang akademik dan penglibatan wanita di peringkat akar umbi dapat menyumbang perspektif yang memperkaya perbincangan kerajaan.

“Jika kita ibaratkan pembangunan sebagai perkakasan dan perisian, wanita ialah perisiannya. Kami membawa perspektif berbeza, khususnya dimensi kemanusiaan, dalam setiap isu.

“Ia bukan hanya mengenai fakta, tetapi juga aspek kemanusiaan dan sosial yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini hari ini.

Fatimah berkata pembangunan negeri tidak sepatutnya terbatas kepada prasarana dan kemajuan fizikal, sebaliknya perlu meliputi dimensi sosial yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Menurutnya, sumbangan wanita dalam proses membuat keputusan boleh menghasilkan pendekatan lebih menyeluruh kerana sesuatu isu dinilai daripada pelbagai sudut, termasuk keperluan dan kebajikan masyarakat.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan prinsip GPS yang meletakkan rakyat sebagai teras penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Fatimah yakin kesemua lima calon wanita yang diketengahkan GPS mempunyai kredibiliti dan berupaya memenangi kawasan masing-masing. Beliau berkata calon yang berwibawa serta mampu menang merupakan keperluan penting dalam pilihan raya.

GPS mempertaruhkan lima calon wanita pada pilihan raya kali ini, termasuk dua muka baharu, berbanding empat calon wanita pada pilihan raya negeri terdahulu.

Dua calon baharu itu ialah bekas jurutera kanan Sarawak Energy Berhad, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34, yang bertanding di Bekenu, serta setiausaha politik Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, 51, di Muara Tuang.

Tiga lagi calon wanita ialah Fatimah di Dalat, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Samariang dan Dayang Noorazah Awang Sohor di Lingga.

Hari mengundi ditetapkan pada 12 Dis, manakala penamaan calon berlangsung pada Sabtu dan pengundian awal pada 8 Dis.