Transformasi Sibu dijangka tarik lebih ramai anak tempatan kembali berkhidmat
SIBU, 27 Nov (Bernama) -- Transformasi berterusan Sibu yang disokong pembangunan infrastruktur moden dan usaha memperkukuh ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka menggalakkan lebih ramai profesional serta golongan muda tempatan kembali bekerja dan menetap di bandar itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata tiga inisiatif strategik, iaitu cadangan Zon Ekonomi Sibu (SEZ), pembangunan semula Kampung Datuk dan pembaharuan bandar Bukit Assek, akan menjadi pemangkin utama transformasi berkenaan.
Beliau berkata antara cabaran utama Sibu ialah menarik serta mengekalkan profesional berkemahiran dan bakat muda, khususnya dalam kalangan anak tempatan. Usaha itu memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan dan persekitaran kehidupan yang kondusif, katanya pada majlis makan malam penghargaan media di sini malam tadi.
“Cabaran utama dalam membangunkan Sibu ialah menarik lebih ramai profesional dan golongan muda, khususnya anak tempatan, untuk bekerja dan menetap di sini dalam tempoh lima tahun akan datang. Namun, cabaran ini boleh diatasi apabila bandar ini melalui transformasinya,” katanya.
Dr Annuar berkata transformasi Sibu memerlukan usaha bersama kerajaan, sektor swasta dan masyarakat setempat. Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Nangka berkata cadangan mewujudkan SEZ dibangkitkan semasa perbincangan mengenai Pelan Pembangunan Sarawak.
Cadangan itu mendapat sokongan kerajaan negeri dan menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya. Dr Annuar berkata gagasan SEZ berkenaan diinspirasikan oleh kerjasama ekonomi Johor-Singapura yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi serta meningkatkan keterhubungan antara kedua-dua wilayah.
Pembangunan semula Kampung Datuk yang bermula awal tahun ini pula bertujuan mengekalkan identiti dan warisan penempatan tradisional Melayu itu, sambil membangunkannya sebagai perkampungan warisan yang lebih maju.
Sementara itu, pembaharuan bandar Bukit Assek merupakan inisiatif berskala besar yang meliputi kawasan kira-kira 330 hektar.
Dalam aspek pembangunan modal insan, Dr Annuar berkata cadangan penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu bertujuan membolehkan Sarawak melahirkan lebih ramai tenaga profesional perubatan bagi memenuhi keperluan kesihatan negeri.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, beliau turut menghargai kerjasama dan sokongan media tempatan sepanjang tempoh lima tahun beliau menjadi wakil rakyat Nangka, terutama dalam membantu menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari mengundi pada 12 Dis.