PDRM, TUDM kesan lagi suspek sindiket dadah

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengesan lebih ramai individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, 13 individu sudah ditahan setakat ini, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam. Siasatan terhadap suspek lain yang berpotensi terbabit masih giat dijalankan.
Beliau berkata, perintah reman terhadap semua 13 suspek dilanjutkan. Mereka yang terbabit akan didakwa selepas kertas siasatan dilengkapkan.
“Saya percaya lebih banyak tangkapan akan dilakukan selaras dengan perkembangan siasatan, khususnya membabitkan individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khalid, kerjasama PDRM dengan pihak tentera, khususnya TUDM, berjalan dengan baik dan operasi bersepadu yang dilaksanakan sudah membuahkan hasil. Katanya, tangkapan itu penting bagi membendung kegiatan berkaitan dadah daripada terus menular.
Kes itu menyusul rampasan 96.6 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, minggu lalu. Tangkapan dibuat menerusi beberapa operasi di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
Antara yang ditahan ialah seorang juruterbang TUDM dan dua koordinator sindiket. Juruterbang itu dipercayai bertindak sebagai penyelaras serta penghantar bagi sindiket berkenaan.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan mendapati sindiket itu menyeludup dadah dari Subang ke Labuan dan Tawau, Sabah.
Terdahulu, Mohd Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Pahang antara Datuk Mohammad Shaharul Md Osman dengan Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, yang juga Timbalan Ketua Polis negeri.