Polis tidak tolak kemungkinan tangkapan baharu kes dadah guna aset tentera

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan baharu terhadap individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset tentera. Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata setakat ini, 13 individu ditahan bagi membantu siasatan.
Daripada jumlah itu, tujuh ialah pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala enam lagi orang awam. Mohd Khalid berkata siasatan masih berjalan dan beliau tidak dapat mendedahkan jumlah individu yang dikesan.
“Kes ini masih lagi dalam siasatan … saya tak dapat mendedahkan (bilangan individu dikesan), reman (suspek ditahan) telah tamat serta disambung oleh pihak mahkamah dan kita akan jalankan siasatan bagi memastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan berterusan mungkin membawa kepada tangkapan lain terhadap individu yang mempunyai hubungan dengan kes itu. “Hasil daripada siasatan yang berterusan, insya-Allah kita akan lakukan lain-lain tangkapan yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes yang sedang kita siasat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata kerjasama erat PDRM dengan pihak tentera, khususnya TUDM, membuahkan hasil melalui operasi bersama. Kerjasama itu penting bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung daripada terus menular dalam negara.
Minggu lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penahanan 13 individu itu dibuat susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata kesepaduan dan semangat solidariti dalam kalangan warga polis perlu diperkukuh supaya tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan. Seramai 6,300 pegawai dan anggota berkhidmat di Pahang, katanya, sekali gus memerlukan kerjasama erat dan semangat berpasukan bagi memastikan tugas berjalan lancar.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas daripada Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob, yang memangku jawatan Ketua Polis Pahang, kepada Ketua Polis Negeri yang baharu, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman.