Polis tahan 11 warga asing dalam sindiket menyamar pegawai NYPD

Sumber: Harian Metro
Polis tahan 11 warga asing dalam sindiket menyamar pegawai NYPD
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian antarabangsa dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Polis New York (NYPD), dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Bukit Ceylon, di sini, Selasa.

Serbuan pada 5 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Cawangan Khas serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Operasi berkenaan dibuat susulan maklumat dan risikan mengenai kegiatan penipuan yang menyasarkan warga Amerika Syarikat (AS).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 51 tahun. Empat daripadanya warga Afrika Selatan, tiga warga Taiwan, manakala masing-masing seorang dari Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.

Polis turut merampas tiga pasang pakaian seragam New York Police Department, papan logo Polis New York dan peta Bandar Raya New York. Barangan itu dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa yang dihubungi melalui panggilan video.

“Turut dirampas 31 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, satu unit monitor, satu unit CPU dan satu unit router,” katanya pada sidang media.

Ahmad Azwan berkata, pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti yang dirampas mendapati sindiket menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menukar wajah dan imej latar belakang. Mereka turut menggunakan dokumen yang menyerupai dokumen rasmi NYPD bagi meyakinkan mangsa.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak pertengahan tahun ini. Modus operandinya adalah memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka terbabit dalam kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram.

Semua individu yang ditahan direman selama empat hari, bermula 25 hingga 28 November ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras penipuan dalam talian, khususnya jenayah rentas negara yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi. Ahmad Azwan menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa serta tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.