Hamzah nafi keputusan tidak bertanding PRN Sarawak kerana ugutan GPS

Sumber: Harian Metro
Hamzah nafi keputusan tidak bertanding PRN Sarawak kerana ugutan GPS
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan bahawa keputusan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dibuat susulan ugutan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini, sambil menegaskan PN tidak terbabit dalam pertelingkahan antara pihak lain. “Ini (dakwaan terbabit) yang dikatakan DAP, dia hendak marah atau bergaduh sesama sendiri...itu mereka punya pasal. Kami (PN) tak campur,” katanya.

Hamzah berkata PN sebaliknya mahu mempertahankan perkara yang diperlukan rakyat dan memperjuangkan kepentingan orang ramai.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dilaporkan mendakwa PKR negeri membuat keputusan tidak bertanding pada PRN Sarawak selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, “tunduk” kepada ugutan GPS.

Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, mempersoalkan kewajaran parti yang mendapat manfaat daripada sokongan gabungan itu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan untuk mencabar GPS pada PRN Sarawak.

Beliau dipetik berkata Kerajaan Persekutuan mungkin tidak dapat dibentuk tanpa sokongan GPS, walaupun demokrasi membenarkan parti berkenaan bertanding pada pilihan raya negeri itu.

DAP ialah satu-satunya parti komponen PH yang akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13, yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini. PKR dan AMANAH memutuskan untuk tidak menyertainya, manakala Barisan Nasional (BN) turut mengambil keputusan tidak bertanding.