Anwar setuju pendidikan kesihatan mental dimasukkan dalam kurikulum sekolah
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bagi membantu pelajar mengurus tekanan. Beliau menyatakan perkara itu dalam program Dialog Negara yang disiarkan malam tadi.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pendekatan pengajaran mengenai kesihatan mental perlu dirangka dengan berhemah dan menarik supaya dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar. Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan agama dan moral dalam membentuk penghayatan.
“Kena cara pengolahan yang melalui pengajaran. Sepatutnya dari segi agama dan moral itu paling penting, sebab itu dalam kurikulum Islam ini pun patut beri kesan,” katanya.
Beliau berkata, meskipun semua pelajar Islam mengikuti pembelajaran agama dan berjemaah, perkara itu tidak semestinya diterjemahkan kepada penghayatan. Anwar berkata, beliau bersetuju dengan cadangan KPM berhubung pendidikan kesihatan mental.
Selain usaha meningkatkan kesedaran, bilangan kaunselor terlatih di sekolah juga perlu ditambah bagi menangani kes yang lebih serius. Namun, menurut Anwar, langkah itu mungkin mengambil masa kerana memerlukan peruntukan yang besar.
“Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa. Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini terlalu terpisah-pisah. Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Anwar berkata, tanggungjawab menangani isu itu perlu dipikul bersama oleh ibu bapa dan guru. Beliau berkata, jika amanah masing-masing dilaksanakan dengan baik dan ikhlas, sebahagian masalah boleh ditangani.
Berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, beliau berkata kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah, termasuk masalah buli, berpunca daripada tekanan dalam keluarga. Antaranya ialah tekanan berlebihan terhadap anak-anak supaya belajar, selain penganiayaan dan penderaan di sekolah.
Beliau berkata, cadangan penyelesaian boleh didengar daripada KPM, Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO), selain usaha memperluas kesedaran dalam masyarakat. Anwar turut menegaskan kepentingan peranan keluarga dalam menjaga dan mendidik anak-anak.
“Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.
Program Dialog Negara itu turut disiarkan serentak menerusi Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS, selain saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik. Antara panelnya ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr Anis Yusal Yusof; serta Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan.