Anwar gesa penjawat awam tidak memilih lokasi penempatan

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga enggan berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan penyesuaian penempatan jika munasabah. Namun, keperluan penduduk di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan, termasuk kesihatan, perlu tetap diutamakan.

“Kalau penempatan di mana boleh kita ubah suai, kita sesuaikanlah. Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?” katanya dalam program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Mengulas lanjut, Anwar berkata isu penempatan bukan hanya melibatkan doktor, malah turut dihadapi penjawat awam lain, termasuk jurutera dan guru. Penempatan di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada penduduk pedalaman Sabah, Sarawak serta Semenanjung tidak terjejas.

Antara panel program itu ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta usahawan dan pencipta kandungan digital, Adam Shamil.

Panel lain ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.