Dua beradik maut selepas motosikal terbabas di Pasir Mas

PASIR MAS: Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi abang mereka terbabas di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, hari ini. Seorang lagi penunggang, Muhammad Saiful Haikal, 18, cedera dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Bapa mereka, Saiful Nizam Abdul Sani, 42, berkata Muhammad Saiful Haikal dalam perjalanan mengambil dua adiknya dari tadika dan sekolah sebelum kejadian berlaku. Katanya, anak sulungnya terlebih dahulu mengambil Muhammad Saiful Hayyan di tadika, kemudian pulang ke rumah sementara menunggu untuk mengambil Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1.
“Ketika hendak keluar mengambil Muhammad Saiful Haider, adiknya turut meminta untuk mengikut bersama,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPZ II.
Menurut Saiful Nizam, ketiga-tiga anaknya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bechah Tendong, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Beliau menerima panggilan daripada isterinya, Nur Zuhanis Mohd Noor, 42, kira-kira 2 petang. Isterinya memaklumkan kejadian itu selepas dihubungi pemilik warung berhampiran.
“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati dua anak sudah terbaring berlumuran darah. Keadaan ketika itu amat menyedihkan,” katanya.
Muhammad Saiful Haider meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Saiful Hayyan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPZ II. Muhammad Saiful Haikal pula menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan.
Saiful Nizam turut berkata guru tadika memaklumkan Muhammad Saiful Hayyan, yang biasanya ceria, aktif dan mudah berkawan, lebih banyak berdiam diri berbanding kebiasaan pada hari kejadian.
Jenazah kedua-dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas selepas selesai bedah siasat.