Petronas, Staatsolie putuskan pembangunan medan gas Sloanea

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Staatsolie Maatschappij Suriname NV mencapai keputusan pelaburan akhir bagi membangunkan medan gas Sloanea di Blok 52 luar pesisir Suriname, membuka laluan kepada pembangunan gas luar pesisir pertama negara Amerika Selatan itu.
Projek yang dinamakan KrakaWi itu membawa medan berkenaan daripada fasa penemuan kepada pembangunan selepas kerjasama lebih sedekad antara Petronas, Staatsolie dan kerajaan Suriname. Dalam kenyataan, Petronas berkata projek itu akan menambah sumber bekalan baharu dari Amerika Selatan kepada portfolio gas asli cecair (LNG) syarikat berkenaan.
Penambahan itu akan mempelbagaikan pangkalan bekalan global Petronas dan mengukuhkan keupayaannya memenuhi keperluan pelanggan di pelbagai pasaran. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata pangkalan bekalan LNG yang lebih pelbagai dan berdaya tahan semakin penting bagi memenuhi keperluan tenaga dunia.
“Memasukkan lembangan baharu ke dalam sistem gas global mengukuhkan daya tahan itu dan meluaskan akses kepada tenaga yang boleh diharap,” katanya.
Pengarah Urusan Staatsolie, Annand Jagesar, berkata projek itu akan memberi manfaat kepada Suriname dengan menyediakan sumber tenaga lebih bersih yang pengeluarannya dijangka agak stabil dalam tempoh kira-kira 25 tahun. Pemprosesan gas juga membolehkan pengeluaran minyak daripada beberapa takungan yang sebaliknya tidak berdaya maju dari segi komersial.
Beliau berkata projek itu turut menyediakan asas bagi persediaan pembangunan gas ke darat pada masa depan, yang boleh menyokong pembangunan tempatan lebih luas, termasuk melalui peningkatan bekalan elektrik lebih bersih.
Pembangunan KrakaWi berasaskan penemuan Sloanea-1 oleh Petronas Suriname E&P BV pada 2020. Penilaian lanjut dan kajian teknikal mengesahkan potensi medan itu, sebelum ia diisytiharkan komersial pada November 2025.
Pembangunan itu merangkumi telaga pengeluaran gas, infrastruktur dasar laut dan kemudahan LNG terapung yang bakal menjadi yang pertama seumpamanya di rantau berkenaan. Petronas berkata ia akan terus bekerjasama dengan kerajaan Suriname, Staatsolie dan rakan kongsi untuk meningkatkan penyertaan tempatan melalui pembangunan tenaga kerja, pembinaan keupayaan serta penglibatan lebih besar pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.
Selain Blok 52, Petronas turut memperluas kegiatan penerokaannya di Suriname. Syarikat itu menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran bagi Blok 66 laut dalam pada Jun 2025, dengan komitmen menggerudi dua telaga penerokaan. Pada November 2025, Petronas memperoleh kepentingan dalam Blok 9 perairan cetek, yang dikendalikannya, serta Blok 10 bersama anak syarikat Staatsolie, Paradise Oil Company, Chevron dan QatarEnergy.