Petronas hantar kargo Bio-LNG pertama dari Malaysia ke Jepun

KUALA LUMPUR: Petronas LNG Ltd (PLL), unit Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menghantar kargo pertama gas asli cecair bio (Bio-LNG) dari Malaysia ke Jepun dengan kerjasama Tokyo Gas Co Ltd.
Menurut Petronas, Bio-LNG itu dihasilkan daripada efluen kilang minyak sawit (POME). Kargo berkenaan dimuatkan bersama gas asli cecair (LNG) konvensional di Terminal Regasifikasi Pengerang, Johor, sebelum dihantar ke Jepun.
Penghantaran itu menyusuli memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua syarikat pada 27 Okt bagi memperluas kerjasama merangkumi rantaian nilai LNG serta meneroka peluang penyahkarbonan.
Petronas LNG mendapatkan bekalan Bio-LNG melalui Petronas Energy & Gas Trading Sdn Bhd, manakala Petronas Gas Bhd menyediakan infrastruktur untuk penghantaran itu.
Penghantaran tersebut turut menyokong usaha Tokyo Gas menyumbang kepada sasaran Jepun untuk memasukkan satu peratus gas boleh baharu, termasuk e-metana dan biom metana, dalam bekalan gas bandar menjelang 2030.
Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim, Datuk Adif Zulkifli, berkata penghantaran itu memanfaatkan keupayaan syarikat mendapatkan bekalan biom metana, infrastruktur sedia ada, kepakaran komersial dan akses pasaran untuk membekalkan penyelesaian tenaga alternatif.
“Dengan menggabungkan potensi biom metana Malaysia dengan skala, kebolehpercayaan dan capaian pasaran portfolio LNG kami, kami mewujudkan laluan untuk gas boleh baharu memasuki pasaran antarabangsa, sambil terus menyediakan keselamatan tenaga yang diperlukan pelanggan,” katanya.
Adif berkata kerjasama dengan Tokyo Gas untuk mengesahkan keperluan rantaian bekalan Bio-LNG membolehkan penghantaran dari Malaysia ke Jepun itu dilaksanakan. Petronas akan terus bekerjasama dengan syarikat Jepun berkenaan bagi membangunkan penyelesaian penyahkarbonan yang memenuhi perubahan keperluan pelanggan dan peningkatan permintaan serantau terhadap tenaga rendah karbon.
Penghantaran itu sebahagian daripada Strategi Peralihan Tenaga Petronas ketika syarikat berkenaan berusaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 serta memperluas kehadirannya dalam penyelesaian tenaga lebih bersih dan rendah karbon.