Penerbangan ke Lapangan Terbang Miami digantung selepas pesawat FedEx terbabas

MIAMI: Semua penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami digantung sementara pada petang Rabu selepas sebuah pesawat kargo FedEx dari Memphis terbabas melepasi landasan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan menghentikan sementara penerbangan ke lapangan terbang itu sekitar jam 8.15 malam waktu tempatan. FAA turut menutup semua landasan kecuali satu sementara siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Tiada kecederaan dilaporkan. FAA menjangkakan operasi penerbangan dapat disambung semula sekitar jam 10 malam waktu tempatan. Kelewatan penerbangan di Miami dilaporkan mencecah sehingga satu jam pada awal malam sebelum keadaan beransur pulih.
Jurucakap Jabatan Penerbangan Miami-Dade, Greg Chin, berkata pihaknya menghargai kesabaran penumpang ketika usaha dilakukan untuk memulihkan operasi lapangan terbang dengan selamat. “Keselamatan kekal menjadi keutamaan kami ketika operasi kembali berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
Insiden berlaku sehari sebelum sambutan Hari Kesyukuran, yang lazimnya antara tempoh perjalanan paling sibuk di AS. Persatuan Automobil Amerika (AAA) sebelum ini menyenaraikan Miami sebagai antara lima destinasi domestik paling popular sepanjang minggu cuti itu tahun ini.
Kawasan Miami-Dade turut berada di bawah amaran banjir susulan hujan lebat berterusan yang dijangka menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS. FAA sedang menyiasat insiden pesawat FedEx berkenaan.