Permintaan elektrik Semenanjung dijangka meningkat kepada 49.8 GW menjelang 2050

KUALA LUMPUR: Permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 22.6 gigawatt (GW) pada 2027 kepada 49.8 GW menjelang 2050, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat semalam.
Unjuran itu bersamaan pertumbuhan tahunan terkumpul sekitar 3.5 peratus dan mengambil kira perkembangan pesat sektor pusat data, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) serta industri berintensifkan tenaga. PETRA memetik unjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET).
Sumbangan permintaan elektrik daripada sektor pusat data kepada jumlah permintaan di Semenanjung pula dijangka meningkat daripada 11 peratus pada 2027 kepada 21 peratus pada 2050.
PETRA berkata tenaga nuklear dikenal pasti sebagai antara pilihan strategik untuk menggantikan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik beban asas, selain gas. Langkah itu selaras dengan usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Bagaimanapun, kapasiti sebenar dan perincian sumbangan tenaga nuklear dalam campuran penjanaan elektrik di Semenanjung masih tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan menyeluruh. Kajian itu sedang diterajui MyPOWER selaku Nuclear Energy Program Implementing Organization (NEPIO).
Menurut PETRA, senario awal yang diputuskan dalam Mesyuarat JPPPET Bil. 1/2026 mengunjurkan tenaga nuklear berpotensi dimasukkan secara berperingkat menjelang 2040. Unjuran itu menetapkan campuran penjanaan sebanyak dua peratus, iaitu kira-kira 2.0GW, bagi tempoh sehingga 2050.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai unjuran permintaan elektrik negara hingga 2050 serta peranan tenaga nuklear dalam memenuhi permintaan dan campuran penjanaan elektrik.
Dalam jawapan lisan berasingan, PETRA memaklumkan Terengganu mempunyai 11 projek solar berskala besar (LSS) 1 hingga LSS 5+ berkapasiti 874 megawatt (MW). Kelantan merekodkan sembilan projek dengan kapasiti 533 MW, manakala Perlis mempunyai lima projek berkapasiti 124 MW.
Jumlah keseluruhan bagi tiga negeri itu ialah 25 projek dengan kapasiti 1,531 MW, bersamaan 25.4 peratus daripada keseluruhan kapasiti LSS sebanyak 6,028 MW.
Bagi Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), PETRA berkata pelaksanaannya berasaskan prinsip “willing buyer willing seller”. Penggunaan sistem grid oleh peserta pula tertakluk kepada caj akses sistem yang sesuai.
Kementerian itu berkata pendekatan berkenaan bertujuan mengelakkan kos penggunaan serta keperluan tambahan sistem dipindahkan secara tidak wajar kepada pengguna elektrik lain. Pemaju tenaga boleh baharu boleh membina ladang solar di negeri yang dianggap sesuai, tanpa peraturan kerajaan yang menetapkan negeri atau kawasan tertentu.
PETRA menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) mengenai langkah memastikan manfaat pelaburan tenaga boleh baharu melalui LSS6 dan CRESS turut dinikmati Kelantan, Terengganu dan Perlis.