Perbicaraan Duterte di ICC dijangka jadi antara paling mendapat perhatian

THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, akan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bermula Isnin ini, dalam prosiding yang dijangka menjadi antara paling mendapat perhatian sepanjang sejarah 24 tahun mahkamah itu.
Duterte ialah bekas ketua negara Asia pertama yang berdepan perbicaraan di ICC. Prosiding itu berlangsung ketika mahkamah berkenaan menghadapi tekanan global yang luar biasa, termasuk sekatan besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS).
Duterte berdepan tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan. Beliau didakwa bersubahat secara tidak langsung dalam pembunuhan atau cubaan membunuh individu yang disyaki menggunakan atau mengedar dadah, dalam kempen yang dikenali sebagai ‘perang terhadap dadah’.
Hakim praperbicaraan ICC menyifatkan tindakan berkenaan sebagai serangan meluas dan sistematik terhadap penduduk awam, bermula ketika Duterte menjadi Datuk Bandar Davao City sebelum memegang jawatan Presiden Filipina. Mahkamah akan meneliti 49 insiden yang mengakibatkan kematian 76 individu serta dua kes cubaan membunuh.
Pihak pendakwaan menyatakan insiden yang akan diperiksa itu hanya sebahagian daripada skala penganiayaan yang berlaku. ICC memaklumkan ratusan individu dibunuh ketika Duterte menjadi Datuk Bandar Davao, manakala ribuan lagi terbunuh selepas beliau menjadi presiden.
Pertuduhan pertama berkaitan 19 kes pembunuhan yang didakwa berlaku antara 2013 hingga Jun 2016, ketika Duterte mengetuai Davao. Mahkamah akan meneliti sembilan insiden dalam pertuduhan itu. Pertuduhan kedua pula melibatkan pembunuhan individu yang dikategorikan sebagai ‘Sasaran Bernilai Tinggi’ antara Julai 2016 hingga Julai 2017, dengan lima insiden membabitkan 14 kematian akan diperiksa.
Pertuduhan ketiga merangkumi 35 insiden dalam operasi yang dikenali sebagai ‘pembersihan barangay (kampung)’. Sebanyak 43 kes pembunuhan dan dua cubaan membunuh didakwa berlaku dalam operasi berkenaan.
Pada hari pertama, hakim Joanna Korner akan membacakan pertuduhan terhadap Duterte, 81, sebelum bertanya sama ada beliau memahaminya dan mengaku bersalah atau tidak bersalah. Galeri awam dijangka dipenuhi penonton, sementara ratusan penyokong Duterte dan mangsa dijangka berhimpun di luar mahkamah.
Pihak pendakwaan dijangka menyampaikan hujah pembukaan selama kira-kira tiga jam. Wakil mangsa pula diperuntukkan masa kurang tiga jam. Peguam bela, Peter Haynes, berkata beliau cenderung memberi maklum balas selepas pendakwaan dan wakil mangsa selesai menyampaikan hujah masing-masing.
Selepas hujah pembukaan, pendakwaan akan mengemukakan kesnya dan dijangka memanggil kira-kira 100 saksi. Wakil mangsa kemudian akan menyampaikan pemerhatian sebelum pihak pembelaan membentangkan kes. Duterte dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melampaui keraguan munasabah, dan beliau berhak merayu terhadap sebarang keputusan mahkamah.
Perbicaraan itu dijangka mengambil masa beberapa tahun. Pendakwaan diperuntukkan 150 jam untuk mengemukakan kes, tidak termasuk masa bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan. Korner menetapkan persidangan maksimum empat jam sehari dengan mengambil kira usia Duterte dan keadaan kesihatannya yang rapuh. Persidangan juga akan diselang-selikan dengan waktu rehat secara berkala.
Selepas perbicaraan selesai, panel tiga hakim akan mengeluarkan keputusan dalam tempoh yang munasabah. ICC sebelum ini mengambil masa lebih setahun untuk memutuskan sesetengah kes, manakala prosiding Duterte dijangka panjang berikutan kerumitan dan profil tingginya.
Keadaan kesihatan Duterte menjadi antara isu utama menjelang perbicaraan. Bagaimanapun, hakim memutuskan beliau layak dibicarakan berdasarkan penilaian panel doktor bebas. Ketika penampilan sulung menerusi pautan video pada Mac 2025, beliau kelihatan terpinga-pinga dan keliru, serta bercakap dengan suara hampir tidak kedengaran.
Pasukan pembelaan mendakwa daya ingatan Duterte merosot dengan ketara sehingga beliau sering gagal mengingati nama peguamnya. Beliau beberapa kali dikecualikan daripada menghadiri pendengaran praperbicaraan secara bersemuka, namun Korner berkata beliau dijangka hadir ke mahkamah setiap hari sepanjang perbicaraan. Duterte hadir secara fizikal buat kali pertama pada September lalu dan kelihatan mengikuti prosiding sebelum melambai ke arah galeri awam ketika pendengaran berakhir.
Jika Duterte didapati bersalah, prosiding hukuman akan dijalankan secara berasingan selepas keputusan sabitan dibuat. Hukuman penjara seumur hidup jarang dikenakan di ICC, dan tempoh tahanan yang sudah dijalani akan ditolak daripada hukuman penjara. Mahkamah juga boleh mengarahkan pembayaran pampasan kepada mangsa, melalui proses berasingan daripada prosiding hukuman.