Pengetua maahad tahfiz didakwa kemuka tuntutan palsu pembekalan makanan

Sumber: Astro Awani
Pengetua maahad tahfiz didakwa kemuka tuntutan palsu pembekalan makanan
Gambar: Astro Awani

MELAKA: Seorang pengetua maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makanan berjumlah lebih RM16,000 dua tahun lalu. Abd Kadir Husin, 46, didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Agama Islam Melaka melalui dokumen palsu bagi menuntut bayaran membekal makanan bermasak untuk pelajar Maahad Tahfiz Bistari Pulau Besar Melaka bagi bulan Februari 2024.

Dokumen yang didakwa palsu itu berkaitan jumlah hari tuntutan perkhidmatan membekal makanan bermasak bagi 20 pelajar pada Februari 2024 berjumlah RM16,894.00, walaupun pembekalan bagi 20 pelajar yang layak dituntut pada bulan tersebut hanya sembilan hari. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 24(2) akta sama, hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda mengikut peruntukan undang-undang tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali ke pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai. Peguam tertuduh, Ahmad Soleh Yusof, memohon agar jaminan dikurangkan kerana tujuannya ialah memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Hakim Mohamad Kamil Nizam kemudian membenarkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri sebulan sekali ke pejabat SPRM Melaka dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mengikut prosedur lanjut.