Tomok, Anis Suraya dan Zulkifli Ismail genggam sarjana UPSI

TANJUNG MALIM: Penyanyi Tomok dan Anis Suraya serta pelakon Zulkifli Ismail memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Majlis Konvokesyen UPSI ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.
Kejayaan tiga penggiat seni itu menunjukkan kesibukan dalam industri bukan penghalang untuk melanjutkan pelajaran. Mereka melihat pengalaman bertahun-tahun dalam bidang masing-masing sebagai asas untuk mendalami ilmu akademik dan berkongsi pengetahuan dengan generasi seterusnya.
Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 42, berkata pengalaman lebih 25 tahun dalam industri muzik mendorongnya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. Beliau berharap ilmu akademik dapat mengukuhkan pengetahuannya dan membantunya berkongsi pengalaman dengan mereka yang berminat dalam bidang persembahan.
Menurut vokalis New Boyz itu, penglibatannya dalam bidang seni sejak berusia 15 tahun memberinya pemahaman yang lebih luas tentang persembahan, manakala penilaian menerusi APEL.Q membolehkan pengalaman tersebut dilihat dari sudut akademik.
“Bagi saya, pengalaman dan ilmu akademik sebenarnya saling melengkapi. Ilmu akademik bukan menggantikan pengalaman yang saya ada, tetapi membantu saya memahami pengalaman tersebut dengan lebih mendalam,” katanya.
Pemenang musim ketiga program One in a Million pada 2009 itu berkata beliau turut berhasrat membuka akademi muzik pada masa hadapan. Usaha itu, katanya, bertujuan berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta membangunkan bakat baharu. Tomok kini mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo.
Zulkifli, 63, yang memiliki pengalaman lebih empat dekad dalam industri seni, berkata keputusan menyambung pengajian membuktikan usia dan pengalaman bukan alasan untuk berhenti menuntut ilmu. Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan Utusan Melayu pada 1984 sebelum menceburi bidang lakonan pada 1986, dan terbabit dalam lebih 300 produksi.
“Pengalaman sebagai wartawan dan pelakon banyak membantu memahami bidang persembahan, namun saya percaya pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa pengukuhan ilmu akademik,” katanya.
Beliau berkata, ilmu perlu terus ditambah walaupun seseorang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni. Menurutnya, bakat dan pengalaman sahaja tidak memadai, sebaliknya seseorang pelakon juga perlu mempunyai ilmu.
Anis Suraya, atau nama sebenarnya Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman, 45, pula mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00. Beliau mula membina kerjaya seni pada 1998 dan mempunyai pengalaman dalam nyanyian, tarian, pengacaraan serta muzik gamelan Melayu. Anis juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kebudayaan di sebuah universiti di Terengganu selama lapan tahun.
Pengalaman seni menjadi asas kepada penyelidikannya yang meneliti evolusi interpretasi vokalnya menerusi lagu Wajah Seribu Rahsia dan Cinta Tersimpul Rapi. Penyelidikan itu turut melihat perubahan identiti artistiknya sepanjang kerjaya, daripada pentas antarabangsa hingga era digital.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan ketiga-tiga penggiat seni itu membuktikan pengalaman profesional boleh dinilai, dikembangkan dan diiktiraf sebagai ilmu melalui pendidikan tinggi.
Beliau berkata APEL.Q membuka peluang kepada golongan profesional yang mempunyai pengalaman luas untuk memperoleh kelayakan akademik dengan mengiktiraf pengetahuan dan kemahiran yang dibangunkan sepanjang kerjaya mereka.
“UPSI sentiasa komited memperluas akses pendidikan tinggi melalui pendekatan pembelajaran fleksibel dan pengiktirafan pengalaman terdahulu. Kejayaan ini membuktikan bahawa proses menuntut ilmu tidak terhad kepada usia atau laluan pendidikan konvensional, sebaliknya boleh diteruskan sepanjang hayat,” katanya.