Pengadil ditukar ketika rehat selepas dakwaan berada dalam keadaan mabuk

Sumber: Harian Metro
Pengadil ditukar ketika rehat selepas dakwaan berada dalam keadaan mabuk
Gambar: Harian Metro

ABU DHABI: Pengadil, Hanna Hattab, digantikan ketika rehat separuh masa selepas beberapa keputusan kontroversi dan dakwaan beliau berada dalam keadaan mabuk ketika mengadili perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Al Jazira dengan Gol Gohar di Stadium Mohammed Bin Zayed, semalam.

Hattab, yang berasal dari Syria, mengadili separuh masa pertama sebelum bertukar tugas dengan pengadil keempat, Ammar Abu Allo. Pertukaran itu berlaku selepas bantahan daripada pasukan pelawat berikutan beberapa keputusan pengadil berkenaan.

Kontroversi tercetus pada minit ke-32 apabila seorang pemain Al Jazira melakukan kekasaran terhadap Ali Asghar Ashouri di tengah padang. Hattab kemudian memanggil penjaga gol Al Jazira, Ersin Destanoglu, dan melayangkan kad kuning kepadanya, meskipun penjaga gol itu tidak terbabit dalam insiden berkenaan.

Keputusan itu mengundang reaksi pemain kedua-dua pasukan dan barisan kejurulatihan Al Jazira sehingga permainan dihentikan selama beberapa minit. Hattab berbincang dengan Abu Allo sebelum menarik balik kad kuning terhadap Destanoglu, namun tindakannya pada awalnya terus dipersoalkan.

Jurulatih Gol Gohar, Mehdi Rahmati, dilihat berang selepas kejadian itu. Beliau berbincang dengan barisan kejurulatihannya sebelum menjerit: “Dia mabuk!”

Pengarah kelab dari Iran itu, Heydar Afsari, kemudian memberitahu laman web sukan Varzesh3 bahawa Gol Gohar sudah melaporkan kejadian berkenaan kepada pegawai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Beliau berkata pasukan itu mengancam untuk tidak kembali ke padang jika keadaan pengadil tidak diselesaikan.

“Pengadil yang mengadili perlawanan menentang Al Jazira berada dalam keadaan tidak normal. Malah pemain Al Jazira sendiri memberitahu kami perkara itu,” kata Afsari.

Afsari turut menceritakan satu lagi insiden membabitkan pemain Al Jazira bernombor 77, Joao Milson. Barisan kejurulatihan Gol Gohar meminta Hattab melayangkan kad kuning kedua kepada pemain itu selepas satu lagi kekasaran, tetapi pengadil mengambil masa kira-kira lima minit untuk berbincang melalui sistem komunikasi sebelum membuat keputusan.

Penyelia perlawanan daripada Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu mengesahkan keadaan luar biasa Hattab kepada Afsari, menurut pengarah kelab itu. Semua pihak kemudian menghubungi AFC bagi melaporkan insiden berkenaan.

Selepas pertukaran pengadil, pemain Gol Gohar kembali ke padang dan perlawanan diteruskan tanpa insiden besar. Al Jazira menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0.

Pakar undang-undang bola sepak Iran, Houshang Nasirzadeh, mencadangkan Gol Gohar mengemukakan permohonan rasmi kepada AFC supaya ujian alkohol dalam darah dilakukan terhadap Hattab. Jika ujian mengesahkan pengadil itu tidak sesuai bertugas, kelab berkenaan boleh memohon keputusan perlawanan dibatalkan dan aksi ulangan diadakan dengan barisan pengadil baharu.

AFC setakat ini belum mengeluarkan kenyataan mengenai pertukaran pengadil itu. Tiada keputusan ujian perubatan atau bukti dikeluarkan bagi mengesahkan dakwaan bahawa Hattab mengambil alkohol. Insiden itu turut dilaporkan beberapa laman web sukan di Eropah, Amerika Selatan dan Timur Tengah.