Pengadil diganti selepas dakwaan tidak berada dalam keadaan normal

Sumber: Sinar Harian

Pengadil Syria, Hanna Hattab, digantikan pada separuh masa pertama perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) antara Al Jazira dengan Gol Gohar pada Khamis, susulan dakwaan beliau tidak berada dalam keadaan normal ketika mengendalikan aksi itu.

Kontroversi tercetus selepas beberapa keputusan Hattab menimbulkan persoalan, terutama ketika perlawanan memasuki minit ke-32. Selepas pemain Gol Gohar, Ali Asghar Ashouri, dikasari di bahagian tengah padang, pengadil itu mengambil masa sebelum membuat keputusan.

Hattab kemudian secara tiba-tiba memanggil penjaga gol Al Jazira, Ersin Destanoglu, dan melayangkan kad kuning kepadanya. Keputusan itu membingungkan pemain Al Jazira, termasuk Destanoglu yang kelihatan tidak memahami sebab dirinya dikenakan tindakan.

Jurulatih Gol Gohar, Mehdi Rahmati, dilaporkan menjerit mendakwa Hattab mabuk ketika insiden berkenaan berlaku. Bagaimanapun, dakwaan itu belum disahkan secara rasmi.

Pengurus pasukan Gol Gohar, Heydar Afsari, turut mendakwa pengadil itu tidak berada dalam keadaan normal sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan. Menurutnya, pihak kelab sudah memaklumkan perkara itu kepada pegawai perlawanan dan memberi amaran mereka tidak akan meneruskan aksi sekiranya situasi tersebut tidak ditangani.

Afsari juga mendakwa pemain Al Jazira, João Milson, yang memakai jersi nombor 77, sepatutnya dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran kali kedua. Namun, kad itu sebaliknya direkodkan atas nama penjaga gol lawan.

Hattab akhirnya digantikan selepas aduan dikemukakan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada waktu rehat.